“Rosaknya Ramadan Kerana Syawal” – Ustazah Asma’ Harun Kecewa Fesyen Raya Tak Ikut Syariat Islam, Netizen Komen: “Lagi-Lagi Trend Jual Baju Sambil Menari”

Umum mengetahui pendakwah terkenal Ustazah Asma’ Harun sering dilihat lantang bersuara mengenai apa-apa isu yang berkaitan agama dan industri hiburan.

Terbaharu, Asma’ sekali lagi menjadi perhatian warganet apabila tampil membuat kenyataan ringkas mengenai busana raya yang dikeluarkan pereka fesyen tempatan. untuk Syawal yang bakal menjelang tiba.

Menerusi hantaran di Instagram (IG), Asma’ meluahkan rasa kesal apabila terdapat sesetengah pereka fesyen yang tidak peka dengan fesyen yang berlandaskan syariat Islam.

“Makin ramai pereka fesyen dan model muslimah menggayakan busana raya yang ketat ikut ukuran badan, dipadankan dengan tudung singkat lilit leher, jadi trend.

“Ia jelas bertentangan syariat Islam! Rosaknya Ramadan kerana Syawal,” tulisnya ringkas.

Menjengah ke ruangan komen pula, rata-rata warganet bersetuju dengan kenyataan tersebut malah ramai juga meluahkan rasa kecewa apabila busana raya tidak mengikut syariat Islam.

Sehingga artikel ini ditulis, perkongsian Asma’ tersebut telah meraih lebih 33,000 tanda suka dan lebih 400 komen di Instagram (IG).

Khairil Khusyairi