Saharul Ridzwan Enggan Pilih Jalan Mudah Untuk Popular

Memenangi tempat ketiga peraduan Hero Remaja 2011/2012 di bawah Fattah Amin yang memenangi tempat pertama dan Syafiq Kyle di tempat kedua, menjadi batu loncatan buat pelakon Saharul Ridzwan menempah nama di dalam dunia seni lakonan. 

Bermula pada tahun 2013, Saharul membintangi drama-drama seperti Love You Mr. Arrogant (2013), Romi Love Julia (2014) dan Kau Aku Kita (2016) dan nama Saharul makin melonjak apabila memenangi pelbagai anugerah selepas membintangi drama Kau Aku Kita di samping pelakon Janna Nick.

Saharul juga bersyukur kerana mendapat panduan dan nasihat daripada pelakon-pelakon yang lebih senior seperti Azhan Rani ketika namanya berada di puncak. 

“Saya masih ingat abang Azhan Rani pernah memberitahu, sekali berada di atas, kita perlu berhati-hati.  Memang saya boleh pilih jalan mudah untuk popular, tetapi apakah ia menjamin saya terus bertahan,” katanya kepada BH Online.

Meluahkan rasa kagum dengan pelakon yang berbakat dan konsisten seperti Beto Kusyairy, Saharul berpendapat untuk popular adalah mudah, tetapi untuk bertahan dan kekal konsisten adalah  yang paling sukar.  Jadi penting baginya untuk mengatur langkah supaya kekal popular tanpa terpalit dengan kontroversi. 

Pemilik nama penuh Mohd. Saharul Ridzwan Hashim (30 tahun) ini mendirikan rumahtangga dengan usahawan, model muslimah dan ‘influencer’ Deena Emir pada 2016 dan mereka dianugerahkan seorang cahaya mata lelaki berusia dua tahun, Muhammad Luth Ali.  

Perkongsian terbaharu Saharul dan isteri di laman instagram menunjukkan isterinya kini berbadan dua dan mereka berharap ianya seorang adik perempuan untuk Luth. 

Sumber foto: Instagram @saharulridzwan & @deenaemir

Del14