“Saya Dapat Jemputan, Tapi…” – Beto Kusyairy Sahkan Turut Tak Hadir Malam Gala Mat Kilau Di Indonesia

Baru-baru ini isu konflik antara Datuk Adi Putra dan syarikat penerbitan, Studio Kembara hangat diperkatakan.

Konflik tersebut menyebabkan Adi Putra tetap pendirian untuk tidak hadir ke Malam Gala Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang diadakan di Jakarta, Indonesia, hari ini.

Selain Adi Putra, Johan As’ari yang memegang watak Yassin turut tidak menyertai majlis tersebut.

Terbaharu, Beto Kusyairy memberitahu dirinya tidak dapat menyertai rombongan produksi ke Indonesia kerana terdapat komitmen lain.

Memetik laporan Boom, Beto mendapat jemputan namun komitmennya tidak mengizinkan.

“Namun saya berharap filem kita mendapat sambutan di sana, tambahan pula Mat Kilau turut dibintangi oleh pelakon Indonesia iaitu Yayan Ruhian,” katanya.

Pada masa sama, Beto memberi pandangan tentang konflik antara syarikat produksi dan beberapa pelakon Mat Kilau tidak seharusnya dikeruhkan lagi.

“Seharusnya kita menjernihkan kembali segala kekeruhan yang berlaku sebab industri kita tidak besar. Pusing-pusing kita akan jumpa orang yang sama,” ujarnya.

Pelakon yang memegang watak sebagai Wahid berharap agar masalah itu boleh diselesaikan dengan cara yang baik.

Untuk rekod, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berjaya mengutip sehingga RM90 juta selama sebulan tayangan di pawagan seluruh Malaysia dan filem itu bakal ditayangkan di Netflix pada September.

Sumber: Boom

Maya Basir