“Saya Hampir Tolak, Tapi..” – Afieq Shazwan Gementar Jadi ‘Anak Ikan’ Kepada…

Penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan, 25, mengakui hampir menolak tawaran lakonan membawakan karakter ‘anak ikan’ kepada aktres berkaliber Fasha Sandha.

Menerusi karya Rampas Cintaku, ini merupakan kali pertama dia memegang watak sedemikian dan banyak bertanya kepada kenalan yang mempunyai pengalaman sebagai ‘anak ikan’.

“Ini pertama kali saya perlu bawa watak sebagai ‘anak ikan’. Saya hampir tolak tawaran lakonan sebab pada saya watak ini sedikit berat.

“Pada awalnya, saya sangat gementar untuk masuk set penggambaran drama Rampas Cintaku. Pertama saya takut sekiranya akan dilabel ‘anak ikan’ dan kedua saya gementar sebenarnya nak berlakon dengan heroin cerita ni, Kak Fasha.

“Tapi bila dah masuk hari pertama dan kedua saya dah mula selesa sebab persekitaran berlakon yang seronok. Salah satunya saya dan Kak Fasha senang bekerjasama.

“Terus terang, saya tiada pengalaman menjadi seorang ‘anak ikan’, cuma saya kerap bertanya orang sekeliling dan kenalan saya yang mempunyai pengalaman sebegitu,” katanya ketika ditemui di sidang media Rampas Cintaku di Dadi Cinemas, Pavilion Kuala Lumpur, semalam.

Tidak menafikan akan ada segelintir penonton bakal mengecam gara-gara watak ‘daring’, Afieq memandang perkara tersebut sebagai satu cabaran.

“Mesti akan ada yang kecam, tapi ini adalah cabaran dalam karier saya. Saya bukan anak ikan di dunia nyata, hanya menjayakan watak sahaja,” katanya lagi.

Afieq memegang watak sebagai Rizal, seorang anak muda yang terdesak untuk keluar daripada bebanan hutang, kemiskinan dan gangguan pengutip hutang lalu memilih untuk berpindah ke ibu kota serta bertemu dengan seorang ahli perniagaan kaya dan menggoda, Datin Safieya (lakonan Fasha Sandha).

Terdesak untuk melunaskan hutang keluarganya, Rizal menerima tawaran Datin Safieya untuk menjadi ‘anak ikan’, namun akhirnya jatuh cinta terhadap wanita itu.

Rampas Cintaku dilancarkan secara global di platform iQIYI dan iQIYI International merentasi 191 negara dan wilayah pada 23 September 2022.

Melodrama tempatan ini menampilkan pelakon tempatan yang berbakat besar seperti Fasha Sandha, Afieq Shazwan, Aidil Aziz, Zarul Husin, Ady Mohammad, Erynn Abdullah, Zarynn Min, Puteri Balqis, dan ramai lagi.

Aqilah Paharuzi