Aman Shah Meninggal Dunia Akibat Komplikasi Jantung

Pelakon dan penyanyi era 80-an, Aman Shah menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun akibat komplikasi selepas pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), pukul 2.20 petang tadi.

Menerusi laporan Kosmo, berita kematian itu disahkan pembantu khas adik Allahyarham, Amirudin Mokhtar yang memaklumkan arwah dimasukkan ke hospital sejak minggu lalu.

“Allahyarham sudah berada di hospital beberapa hari lalu untuk menjalani pembedahan yang dijadualkan lebih awal.

“Proses pembedahan yang berlangsung semalam berjalan lancar, tetapi kemudian ada komplikasi pada jantungnya.

“Buat masa ini keluarga terdekat masih menunggu makluman lanjut daripada pihak pengurusan hospital. Sebarang perkembangan lanjut akan kami kongsikan,” katanya.

Penyanyi yang popular Adikku Pandai Menari, sebelum ini pernah dimasukkan ke Hospital Melaka pada Oktober tahun lalu kerana masalah jantung.

Pada ketika itu, Aman Shah mengalami serangan di rumah kakaknya di Cheng Perwira sebaik mengadu berasa sakit dada dan tangan kebas.

Kejadian tersebut dikhabarkan adalah kali yang kedua berlaku, selepas kali pertama dialaminya di Kota Bharu, Kelantan, 10 Oktober 2020.

Untuk rekod, selain Adikku Pandai Menari, Allahyarham turut menempah kemasyhuran menerusi lagu Kepulangan Yang Dinanti yang sering dimainkan setiap kali sambutan Hari Raya Aidil Fitri.

Selain itu, Aman Shah juga kerap membintangi beberapa buah filem termasuk Darah Satria.

Maya Basir