“Saya Jalani Hidup Macam Biasa, Tapi…” – Siti Nordiana Dedah Terima 2 Permohonan Batal Saman Fitnah

Penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana tampil mendedahkan perkembangan terkini kes saman terhadap kontroversi lima sekawan iaitu Lan Solo, isterinya Nur Sheila Hashim, Syura Badron, jurusolek bebas, dan pegawai perhubungan awam FMC didakwa telah memfitnahnya pada Julai lalu.

Memetik laporan Media Hiburan, Siti Nordiana Alias atau lebih mesra disapa Nana, 37 memberitahu pihak Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan jurusolek bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43, dan pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music Sam Musyadzafar Samin, 44 untuk membatalkan saman fitnah.

“Keputusan tersebut saya terima semalam (Jumaat) daripada peguam saya. Ini adalah keputusan pertama dan saya difahamkan masih ada lagi beberapa permohonan lain daripada pihak sana.

“Yang pertama ini sudah dapat jawapan, ditolak. Keputusan yang diputuskan mahkamah, itulah dia. Apa pun saya serahkan segalanya untuk prosedur perundangan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Nana berkata dia tidak dapat mengulas lebih lanjut kerana kes masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Pelantun lagu Terus Mencintai itu mengakui kes saman ini sedikit sebanyak tidak mengganggu emosinya serta memilih untuk meneruskan kehidupan seperti sedia kala.

“Saya jalankan hidup macam biasa. Walaupun mungkin proses ini ambil masa yang lama, tapi tak mengapa, saya okay saja. Hidup dengan cara sendiri.

“Kalau dipanggil untuk perlu hadir ke mahkamah, saya akan hadir. Begitulah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Siti Nordiana telah memfaikan saman pada 30 Julai 2021 iaitu mendakwa pada 20 Julai 2021 kira-kira 11:58 malam, melalui sebuah siaran langsung yang dikendalikan isteri Lan Solo dan empat individu iaitu teman rapat Nana menerusi akaun Instagram masing-masing telah bertindak mengeluarkan kata-lata fitnah terhadap selebriti itu.

Sumber: Media Hiburan

Aqilah Paharuzi