‘Saya Mungkin Tinggalkan Dunia Lakonan Lepas Kahwin’- Mia Nasir Mahu Fokus Bisnes

Pelakon jelita Mia Nasir mengaku tidak lagi berminat menceburkan diri dalam bidang lakonan selepas bergelar isteri nanti.

Namun begitu, adik kepada pelakon Anzalna Nasir ini tidak mempunyai tarikh tepat lagi untuk berkahwin dengan kekasih hati yang dikenali sebagai Adam.

“ Saya sudah kenal Adam sejak tiga tahun lepas. Malah saya juga sudah bertemu keluarganya. Masih ingat lagi pertemuan pertama kami sewaktu dia ajak berbuka puasa pada hari pertama bulan Ramadan.

“ Selepas tiga tahun menjalin hubungan serius, saya suka sifat matang si dia. Saya juga memberitahu dia selepas berkahwin nanti saya tidak mahu lagi menjadi pelakon,” kata Mia yang mahu fokus dalam bidang perniagaan pula.

Mia ketika ditemui di majlis sambutan hari ibu anjuran The Calla & Flores memberitahu dia menyerahkan urusan jodoh di tangan Tuhan.

“ Saya tidak pernah mendesak si dia untuk segera berkahwin. Saya mahu dia capai apa yang diimpikan dalam kariernya dahulu. Dia juga merupakan seorang ahli perniagaan dan orangnya juga bercita-cita tinggi.

“ Kalau ada jodoh, kami akan kahwin tahun ini juga. Kita merancang, Allah SWT menentukan segalanya,” kata Mia tenang.

SGMS Enal