’Sayang… Allah Mempertemukan Kita, Allah Pula Memisahkan Kita…’ Netizen Beri Kata Semangat Agar Ifan Terus Kuat

Isteri kepada vokalis kumpulan Seventeen, Ifan iaitu Dylan Sahara disahkan terkorban dalam kejadian tsunami yang melanda Selat Sunda, Sabtu lalu.

Pagi ini, Ifan menerusi Instagramnya menulis sebuah hantaran yang membuatkan netizen turut berasa sebak dengan kehilangannya.

“ Mewakili isteriku aku memohon maaf sebesarnya kepada teman, sahabat, keluarga, saudara atau sesiapapun yang pernah mengenal Dylan.

“ Mohon diikhlaskan jikalau ada kata atau perbuatan yang kurang berkenan,” tulisnya.

Ifan menyifatkan Allahyarhamah Dylan sebagai isteri terbaik yang dipinjamkan oleh Allah SWT buatnya.

” Sayang… Allah mempertemukan kita, Allah pula yang memisahkan kita. Doain suamimu agar menjadi suami yang sholeh, biar aku boleh menuntut hak ku buat berpasangan denganmu di akhirat nanti untuk selamanya.

” Cuma Allah yang tahu seberapa besar apa yang aku rasain ke kamu sayang. I love you, Dylan Sahara,” luahnya.

Isteri Ifan, Dylan disahkan meninggal dunia menerusi Instagram milik vokalis terkenal itu pada jam 9 malam tadi.

“Alhamdulillah udah ketemu istriku @dylan_sahara. Makasih ya temen-temen doanya, cuma Allah yang bisa bales kebaikan temen-temen.

“Minta tolong kirimin al-fatihah ya buat istriku @dylan_sahara InsyaAllah husnul khotimah. Allahumma amin,” tulisnya.

Sementara itu, ruangan komen di laman Instagram penyanyi ini dihujani dengan ucapan takziah dan kata-kata semangat agar Ifan terus kuat dengan ujian ini.

Dalam masa sama, Ifan turut menerusi posting di Instagram pula memuat naik video yang memperlihatkan dia bersama jenazah isterinya berada dalam kenderaan dipercayai dalam perjalanan ke Jakarta.

Dalam perkembangan sama, Ifan turut mengesahkan pemain dram Seventeen iaitu Andi turut terkorban menjadikan kesemua anggota kumpulan itu meninggal dunia.

Mereka termasuk Bani (pemain bass), Herman (gitaris) termasuk kru, Ujang dan pengurus kumpulan itu, Oki Wijaya.

Ketika kejadian, Seventeen sedang mengadakan persembahan bersempena hari keluarga sebuah syarikat korporat di Tanjung Lesung Resort, Banten. 

SGMS Faida