Sazzy Akui Ingin Puaskan Diri Sendiri

Pelakon dan usahawan, Sazzy Falak dianggap menyepi  dari dunia pengacaraan kerana sudah lama tidak muncul di kaca tv. Kenapa agaknya Sazzy memilih untuk tidak aktif dalam bidang pengacaraan? Menjawab isu tersebut, pelakon kecil molek ini meletakkan kepuasan diri sebagai keutamaan sebelum bersedia memberi komitmen dalam dunia pengacaraan mahupun dunia lakonan.

Menurutnya, masih didatangi pelbagai tawaran berlakon, tetapi dia lebih memilih dalam menerima tawaran tersebut kerana mahu mencabar diri selari dengan kematangan usia pembabitannya.

“Kerjaya lakonan saya bermula di pentas teater. Minat itu sudah bercambah sejak usia muda, membuatkan saya sentiasa berusaha mencabar kemampuan diri.

“Saya kini berlakon bukan semata-mata kerana bayaran, sebaliknya lebih kepada kepuasan diri. Saya juga akan pastikan, karya yang dilakonkan mempunyai mesej untuk disampaikan kepada penonton.” Katanya yang bakal muncul dalam drama terbaru, Mimpi Sumi siaran ntv7.

Tidak dinafikan fenomena Gol dan Gincu sedikit sebanyak telah mengangkat nama Sazzy Falak sehingga dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-19, 2006.

“Rindu sebenarnya untuk kembali membawa watak itu, apatah lagi karakter Shasha turut menjulang bakat saya hingga meraih pengiktirafan. Apabila ditawarkan berlakon dalam sekuel filem itu, sukar untuk saya menepis.

“Naskhahnya juga menarik, selain tawaran itu datang tepat pada masanya. Mungkin dulu Shasha agak nakal, tetapi untuk sekuel ini, peminat dapat melihat sisi berbeza dirinya,” kata Sazzy mengenai filem yang selesai penggambaran, Februari lalu.

Filem arahan Umi Salwana Omar terbitan Redcom Films itu masih mengekalkan Sharifah Amani dalam barisan utama, selain menampilkan muka baharu seperti Datin Diana Danielle, Ummi Nazeera, Aedy Ashraf dan Syafiq Kyle.

Ditulis Oleh : Nik Nur Amira

Ad Ops