Ada Cara Baik, Jangan Terus Hukum Golongan LGBT

“ Ada banyak jalan untuk membimbing golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). Bukan tindakan keras ke atas mereka,” kata Nik Omar Nik Abdul Aziz anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau memberitahu, masalah LGBT boleh diselesaikan dengan jalan lebih baik berbanding menghukum dan mengambil tindakan keras terhadap mereka yang terlibat.

“ Antaranya ialah usaha untuk mendekati mereka, berdialog, memberi kefahaman Islam yang sebenar dan memberi hak asasi sama seperti rakyat Malaysia lain. Namun, dalam masa sama kita kena perjelaskan sebenarnya Islam ini adalah agama fitrah,” katanya kepada Sinar Harian.

Isu LGBT turut menerima maklum balas pelbagai pihak termasuklah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang berpendapat setiap warganegara Malaysia mempunyai hak masing-masing.

Menurut Nik Omar , asasnya dari sudut hukum, aktiviti LGBT bertentangan dengan ajaran Islam dan kerajaan hari ini juga jelas menolak kefahaman ini.

“Tindakan yang mereka lakukan sebenarnya bertentangan dengan Islam dan fitrah. Pilihan mereka tidak akan selesaikan masalah mereka.

“Nak menyelesaikan masalah mereka ialah kembali kepada Islam sebenar dan insyaAllah ia dapat dicapai. Yang penting semua pihak termasuk kerajaan, NGO dan individu turut sama-sama menyumbang ke arah tersebut,” katanya.

Katanya, isu timbul timbul kerana Islam tidak diberikan ruang secukupnya dalam sistem pendidikan sebelum ini.

“ Sebab itu lahirnya generasi seperti ini, namun kita perlu sama-sama cari jalan penyelesaiannya,” katanya.

SGMS Faida