Sedar Pakai Tudung Adalah Wajib, Ifa Raziah Tak Mahu Jadi Hipokrit! – “Kenapa Kita Mahu Buat Kerja Tuhan? Belum Tentu Yang Bertudung Itu Baik”

Penyanyi dan pelakon Ifa Raziah mengaku tidak mahu menjadi hipokrit hanya kerana dia masih belum menutup aurat termasuklah memakai tudung.

Menurutnya, dia sedar memakai tudung itu adalah perkara wajib bagi seorang muslimah, namun dia menganggap masih belum masanya untuk dia melakukan perubahan tersebut.

Enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Ifa bagaimanapun berharap agar peminat dan orang ramai di luar sana mendoakan yang terbaik untuk dirinya.

“Siapa kita nak hukum manusia lain? Kenapa kita mahu buat kerja Tuhan? Belum tentu yang bertudung itu baik, begitu juga sebaliknya. Soal keikhlasan hati, hanya Tuhan sahaja tahu.

“Bab ini saya susah mahu jawab. Mungkin belum sampai waktu. Saya tahu, memakai tudung adalah wajib. Tetapi itu antara saya dengan Tuhan. Doakan saya,” katanya.

Dalam pada itu, Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha, 47, memaklumkan, dia tidak berkecil hati dengan segelintir netizen yang suka menjatuhkan hukum dek kerana melihat penampilan seseorang artis.

Baginya, sebagai seorang manusia dia sedar turut melakukan kesilapan namun dia juga sudah lali dengan kritikan yang diberikan.

“Saya tidak berkecil hati, tetapi kalau tegur sehingga seolah-olah ada cop mohor masuk syurga, itu tak boleh. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku kelak. Doakan sahaja yang baik-baik untuk orang lain.

“Sampai masa nanti, bila saya pakai tudung, jangankan setakat dada, mata pun saya akan tutup. Saya akan berubah drastik itu. Tetapi hanya Tuhan sahaja yang akan menggerakkan hati saya,” jelasnya.

Sumber: Utusan
Salma Syahbuddin