Categories: SelebritiTrending

“Alhamdulillah, Kami Rasa Tenang” – Bercerai Keputusan Terbaik Buat Puteri Lily & Aziz M Osman

Bekas isteri kepada pengarah dan penerbit Aziz M Osman iaitu Puteri Lily Lokman tampil memberi penjelasan mengenai pengumuman penceraian yang dibuat di akaun Instagramnya sebelum ini.

Memetik laporan Harian Metro, Puteri Lily memaklumkan bahawa keputusan untuk bercerai bukanlah sebuah perkara yang mudah untuk dibuat dan mengakui ia menjadi fasa terendah dalam hidup mereka.

Malah, dia juga menyatakan penceraian ini membuat mereka berasa tenang dan anak-anak turut menerima perpisahan dengan baik.

“Tiada orang yang inginkan penceraian. Kalau berlaku perceraian itu akan menjadi fasa terendah dalam hidup mereka.

“Bila tiada sefahaman, lebih baik berpisah secara baik. Mungkin kami berdua gagal sebagai pasangan hidup, namun sebagai kawan Insya-Allah kami baik.

“Ini (cerai) adalah keputusan terbaik untuk anak-anak juga. Kalau ibu bapa ada konflik itu tidak bagus untuk anak-anak.

“Apabila sudah bercerai, Alhamdulillah kami rasa tenang. Anak pun okay. Anak-anak juga dilihat sangat berlapang dada menerima keputusan ini,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, Puteri Lily juga menjelaskan bahawa dia telah berusaha untuk menyelamatkan perkahwinannya yang telah dibina sejak 13 tahun lalu.

“Bila hidup ini rasa sudah sampai ke hadnya dan sudah berusaha buat yang terbaik, rasa sudah tak nampak jalan untuk selesaikan lagi. Saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal barulah kami teruskan untuk bercerai.

“Tempoh 13 tahun sebenarnya agak lama untuk kami bertahan, ia bukan mudah juga sebenarnya, Alhamdulillah, Allah permudahkan sampai di sini,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Puteri Lily dan Aziz M Osman berkahwin pada 6 Jun 2010 malah ini merupakan perkahwinan kali ketiga untuk Aziz.

Hasil perkahwinan ini, mereka dikurniakan sepasang anak iaitu Puteri Nur Azzahra, 12 dan Putera Muhamad Aryan, 5.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari