“Rasa Sakit Tapi Saya Abaikan…”- Aniq Suhair Patah Tangan Akibat Terjatuh

Baru-baru ini, Pelakon Aniq Suhair dilaporkan mengalami patah tangan kanan akibat terjatuh.

Menurut Aniq atau nama sebenar, Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh, 22, sebelum kejadian dia telah melakukan latihan ‘punching bag’ dan tangannya itu mula berasa sakit dan tidak selesa.

Namun, tidak menghiraukan kecederaan pada tangannya itu, pelakon yang popular menerusi drama rantaian Sekali Lagi Cinta Kembali memaklumkan, keadaannya menjadi lebih parah selepas dia secara tidak sengaja terjatuh.

“Masa workout tu saya main punching bag. Bila tumbuk tangan mula rasa sakit sikit tapi saya abaikan saja.”

“Bila balik rumah pula saya terjatuh dan terhempap tangan. Waktu itu baru saya rasa sakit yang teramat dan terus ke hospital.” Kata Aniq Suhair

Dalam pada itu, Aniq memberitahu yang dia kini berada dalam keadaan baik dan memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga minggu untuk pulih sepenuhnya.

“Alhamdulillah doktor hanya simen bahagian yang patah itu tanpa perlu melakukan pembedahan.”

“Menurut doktor, tempoh sembuh memerlukan masa dalam tingga minggu, tetapi Aniq tetap akan meneruskan kerja seperti sesi fotografi yang memang sudah ada dalam jadual.” Katanya lagi

Ekoran insiden tersebut, Aniq tidak dapat bersama dengan pelakon Siti Khadijah dalam sesi bertemu peminat bagi drama mereka, Sekali Lagi Cinta Kembali yang disiarkan di TV3.

“Sepatutnya semalam saya ada sesi bertemu peminat dengan Siti, tapi saya tak dapat hadir dan hanya dapat berjumpa mereka menerusi panggilan video.”

“Saya minta maaf kepada semua kerana perkara yang tak diingini berlaku. Diharap peminat semua dapat mendoakan kesembuhan saya.” Jelasnya lagi.

Sumber: mStar

 

Dharnieya Nur Amelsa