Selepas Beberapa Drama & Dilabel ‘Kayu’, Nama Sharifah Rose Kian Tenggelam? Ini Jawapan Tuan Badan

Pelakon Sharifah Rose menjelaskan karier seninya masih ‘bertahan’ selepas lebih dua tahun mengabdikan diri dalam duni kreatif.

Menurut Rose atau nama sebenarnya Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira, 24, berkata, dia tidak pernah menghilangkan diri selepas namanya berada di puncak populariti.

“Saya tidaklah hilang begitu saja cuma daripada saya mula selama 2 tahun berturut-turut itu saya macam ‘back-to-back’.

“Jadi tahun ini saya ambil ruang dan kesempatan untuk berehat sebentar ketika puasa dan raya untuk fokus pada perniagaan tudung saya.

“Insya-Allah bulan ini saya akan mula ‘shooting’ kembali untuk sebuah drama,” katanya ketika ditemu bual program hiburan popular TV3, Melodi.

Rose kini memilih untuk memberi fokus kepada perniagaan tudungnya semula biarpun terbit rasa rindu untuk kembali ke set.

“Sekarang saya cuba untuk balance kan dua-dua, selama dua tahun itu saya banyak fokus pada drama jadi tahun ini saya nak fokus pada bisnes balik.

“Bila buat dua perkara itu rasa macam tak menang tangan, kita pula ada satu badan sahaja.

“Saya juga rindu nak masuk semula set, bersama kru-kru, pelakon lain, jadi bila jumpa mereka saya akan rasa semangat balik untuk kembali,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rose turut menjawab cakap-cakap sesetengah pihak yang mengatakan dia ibarat ‘one-hit wonder’.

“Saya rasa selepas drama pertama saya iaitu Kekasih Hati Mr Bodyguard, agak padat juga jadual saya. Kemudian terus shoot drama Do You Love Me Captain.

“Alhamdulillah drama tersebut juga dicalonkan dalam 5 kategori di Anugerah Telenovela. Saya tak jangka juga sebab drama ditayangkan itu tahun lepas.

“Saya bersyukur juga, drama itu sentiasa diulang tayang di kaca televisyen, jadi tak adalah saya hilang,” ujarnya.

Untuk info, Rose mula menceburkan diri dalam dunia lakonan dengan drama Kekasih Hati Mr Bodyguard.

Drama tersebut turut menjadi hangat apabila rata-rata penonton melabelkan Rose ‘kayu’ dan tidak pandai berlakon.

Rose turut membintangi drama 3 Nota Cinta dan Do You Love Me Captain.

Khairil Khusyairi