Selepas Setahun ‘Bercuti’, Naim Daniel Sambung Belajar

Penyanyi Naim Daniel memaklumkan kini menyambung pengajian yang tertangguh sejak setahun yang lalu.

Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin ketika ditemui XTRA memaklumkan dia kini sibuk menghadiri kelas setiap Selasa hingga Jumaat.

“ Selepas setahun berehat dari pengajian, saya kembali ke kampus. Ini merupakan waktu tepat untuk saya kembali menyambung pengajian.

“ Saya bercuti dari belajar sejak semester kedua dan kini menyambung pengajian di semester ketiga. Doakan agar saya berjaya menghabiskan pengajian tepat pada masanya,” katanya yang merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Mengikuti pengajian dalam Ijazah jurusan seni muzik komposisi, penyanyi berusia 22 tahun ini bakal tampil dengan album terbaharu tidak lama lagi.

“ Masih terlalu awal untuk kongsikan tetapi akan ada 10 buah lagu dalam album itu nanti. Naim akan war-warkan bila semua sudah siap,” akhirinya.

Terdahulu, nama Naim mula meledak selepas single berjudul Sekali Lagi menerima hampir lima juta tontonan. Hebat bukan?

SGMS Faida