Categories: HiburanSelebriti

Semarak Syawal Dengan Program Terhebat!

Bagi menyemarakkan Syawal tahun ini, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) meneruskan kempen Terima Kasih untuk tahun kedua! Ini sebagai tanda Terima Kasih kepada penonton yang tidak jemu menyokong rancangan-rancangan menarik di saluran Media Prima.

Bagi memenuhi mood raya, pelbagai program menarik terutamanya sepanjang minggu pertama dan kedua raya. Sudah menjadi tradisi ketika Aidilfitri, seluruh keluarga menonton televisyen yang menampilkan rancangan terhebat sempena Aidilfitri.

Tidak meriah rasanya Raya anda tanpa program menarik bukan? Sempena Aidilfitri ini, TV3 bakal menyiarkan telemovie hebat seperti Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin Raya, Istana Firdaus, Senarai Raya Papa, Bahulu Untuk Opah, Baju Raya Eksklusif, Di Penghujung Sujud, Wan Peah Balik Beraya, Din Sardin Beraya, Mak Cun Pi Amerika Lagi, Pendosa Ingin Ke Syurga, Mentari, Selirat dan Taubatku.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Johan Ishak, berkata MPTN menceriakan suasana Syawal hingga minggu raya kedua bersama telefilem khas sempena Aidilfitri, drama rantaian, filem pecah panggung dari dalam dan luar negara, rancangan bual bicara dan program Raudhah.

“Selain mengunjungi sanak-saudara, orang ramai pasti menantikan program televisyen yang membawa seisi keluarga bersama-sama mengikuti rancangan istimewa sesuai suasana Syawal.

“Selaku platform nombor satu pilihan Malaysia, MPTN komited dalam memastikan kualiti program hiburan dan kekeluargaan sepanjang perayaan ini memuaskan hati ramai.

“Pada masa sama, kami berbesar hati dengan sokongan pengunjung terhadap Bazar Terima Kasih & Jom Masjid di Kedah serta Melaka. Hasil pembelian juadah berbuka mereka turut disalurkan ke rumah kebajikan terpilih.

“Semua acara termasuk program mengimarahkan rumah Allah, Jom Masjid, dengan sesi tazkirah secara maya dan gotong royong memasak serta mengedarkan bubur lambuk diharap terus menyuburkan silaturahim sesama insan,” katanya.

Saluran hip dan segar, NTV 7 juga membawakan penonton mengamati segenap perasaan dalam telemovie Aidilfitri yang bakal ditayangkan bermula Hari Raya pertama sehingga Raya keenam. Antaranya Wish List Raya, Syawal Mencari Cinta, One Last Raya Bersama dan Cruise Cinta Lebaran.

TV3 turut menyenaraikan filem popular seperti J Revolusi, Abang Long Fadil, Mael Lambong, Captain America: The First Avenger, Real Steel, Niyang Rapik, Jurassic Park III, Kuch Kuch Hota Hai dan Kabhi Khushi Kabhie Gham untuk hiburan penontonnya.

Haa amacam, mesti korang tak sabar nak beraya dah kan? Jangan lupa tonton ok!

SGMS Faida