Sempat Singgah McDonalds Tahan Sakit, Nina Nadira Selamat Melahirkan Anak Kedua

Pelakon Nina Nadira selamat melahirkan cahaya mata kedua di sebuah hospital di Subang Jaya, Selangor pada pukul 9 pagi hari Jumaat.

Memetik laporan mStar, Nina bersyukur bayi lelakinya seberat 2.6 kilogram itu dilahirkan secara normal.

“Sepatutnya masuk hospital pukul 7 pagi, namun sekitar pukul 4 pagi dah mula rasa sakit dan terus ke hospital.

“Dalam perjalanan sempat juga singgah McDonalds dulu untuk beli makanan.

“Saya tahu kalau nak bersalin perlukan tenaga, jadi makanlah dulu. Paling tidak pun dapatlah rasa sebelum berpantang.

“Syukur segala urusan dipermudahkan. Saya pun dah ada pengalaman sebelum ini, jadi semuanya dah sedia awal,” katanya.

Menurutnya, selepas berpantang dia mungkin akan memperlahankan kerjaya seni kerana mahu memberi sepenuh perhatian membesarkan anak-anak di rumah.

“Saya rasa kalau dah masuk anak kedua ni, fokus saya haruslah diberikan kepada keluarga. Mungkin akan perlahankan kerjaya seni dahulu.

“Saya mahu menjaga sendiri anak-anak dan melihat mereka membesar. Waktu bersama anak-anak dalam tempoh mereka membesar ini sangat penting,” ujarnya.

Untuk rekod, Nina dan suami, Ahmad Farhan Rusman mendirikan rumah tangga pada 29 Julai 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nina Lilyanna yang kini berusia empat tahun.

Maya Basir