‘Serasi Biar Nampak Ori’- Ini Kriteria Dicari Scha Alyahya Dalam ‘Lagu Cinta Kita’

Juri tetap program terbaharu Lagu Cinta Kita, Scha Al Yahya memaklumkan antara kriteria yang dicari dalam program ini adalah keserasian yang semulajadi dan tidak dibuat-buat.

Kata Scha, dia juga memberi penekanan dalam aspek gerak badan manakala dari segi teknikal nyanyian, pula menjadi tanggungjawab komposer dan penyanyi Hael Husaini.

” Kalau boleh saya tak mahu chemistry di antara pasangan duet di pentas itu nanti seolah macam dibuat-buat. Dinamik persembahan harus seimbang. Saya ambil contoh macam Syamel dan Ernie Zakri. Tanpa perlu pegang tangan atau usap, penonton dapat ‘rasa’ lirik lagu yang disampaikan.

” Persembahan duet itu nanti juga perlu bersesuaian dengan adab dan budaya di negara kita. Tidak perlu terlalu over untuk blend keserasiaan. Bersesuaian dengan konsep mampukah cinta berputik melalui lagu cinta pertama? Anda kena tonton sendiri nanti,” katanya.

Program Lagu Cinta Kita diadaptasi daripada program realiti popular di Vietnam iaitu ‘Love At First Song’, di mana para peserta akan berduet melalui pilihan lagu untuk menguji keserasian masing- masing.

Menerusi program ini, seramai 16 peserta akan dipilih dan dibahagikan kepada 8 pasangan, pada konsert pertama, para peserta perlu membuat persembahan duet di hadapan juri dan penonton. Apa yang menariknya, para peserta akan diberi kejutan kerana mereka tidak mengenali siapa pasangan duet mereka.

Sekiranya para peserta berjaya melepasi misi tersebut, episod kedua ‘Camp Love Song’ akan menyusul. Para peserta akan mengikut tema OST yang diberi seperti filem dan muzikal dan lain-lain.

Pasangan dengan markah terendah akan tersingkir, pemenang yang berjaya akan membawa hadiah wang tunai berjumlah RM 50,000.

Sementara itu, Hael Husaini yang merupakan juri tetap memberitahu dia melihat kriteria dari segi kematangan dari pelbagai sudut. 

” Kalau nak masuk sesuatu program realiti, peserta haruslah kuat mental dan fizikal dan semestinya mempunyai X-factor sebagai seorang penyanyi” katanya. 

Bermula 19 April 2019, Lagu Cinta Kita bakal bersiaran setiap Jumaat dan Sabtu di laman Youtube TV3MALAYSIAOFFICIAL pada jam 9 malam. Manakala bagi siaran TV3 pula, program ini akan disiarkan bermula 21 April pada setiap Ahad jam 3 petang. 

Oleh: SGMS Fas

SGMS Faida