Categories: Filem

Amy Search Buat Kejutan Di MRT Jakarta

Bukan main terkejut pengguna di stesen MRT Bundaram HI, Jakarta apabila ‘pengamen’ berjambang dan bermisai yang muncul menyanyikan lagu Isabella secara busking semalam, sebenarnya penyanyi asal lagu itu sendiri, Amy Search.

Pada awal, peminat yang menyaksikan persembahan itu tidak menyedari kehadiran Amy sehinggalah dia memperkenalkan diri sekali gus membuatkan penonton dan pemuzik jalanan di stesen MRT itu mulai kecoh.

“Saya rasa sangat terharu kerana lagu Isabella masih diingati hingga ke hari ini. Saya tidak nafikan, impak lagu Isabella sangat bermakna dalam kerjaya saya dan kumpulan Search sendiri.

“Isabella adalah lagu yang menjadi lambang cinta dua negara serumpun antara Malaysia dan Indonesia yang teguh hingga kini.

“Teguhnya hubungan itu kerana negara kita dan Indonesia juga bagaikan bersaudara,” katanya.

Amy akui tidak menyangka ramai yang terkejut malah ada yang teruja dan mengambil kesempatan mendekatinya.

Katanya, penyamaran itu adalah sebahagian daripada rancangan mempromosikan MRT Jakarta yang dilancarkan sejak minggu lalu kepada masyarakat awam di sana.

Malah kehadirannya di Jakarta juga bagi menghadiri program pelancaran kolaborasi Instagrammers indonesia – Malaysia.

“Alang-alang ada di sini (Jakarta), saya dijemput sebagai artis pertama membuat persembahan di MRT Jakarta,” katanya bangga.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Faida