“Serendah Itu? Tak Sangka Orang Yang Rate Mat Kilau 5/5 Bintang Boleh…” – Ini Respons Syafiq Yusof Apabila Siri ‘Special Force Anarchy’ Dikritik

Pengarah, Syafiq Yusof menerima kritikan dengan hati terbuka apabila siri terbarunya, Special Force Anarchy dikritik teruk sehingga dilabel seperti tahi oleh seorang YouTuber.

Adik kepada pengarah dan pelakon sensasi, Syamsul Yusof itu tidak menjangka karyanya mendapat ‘rate’ serendah satu bintang sahaja.

“Jujur, aku tak expect orang yang boleh rate Mat Kilau 5/5 bintang boleh rate karya aku kali ini 1/5. Serendah itu Zhaf?

“Tak apa aku terima review kau dengan hati yang terbuka. Lain orang, lain cerita. Terima kasih hadir tayangan perdana eps 1 Special Force Anarchy,” ciapnya.

Berdasarkan ciapan terbaru, Syafiq akur untuk menerima segala kritikan terhadap karyanya dan memperbaiki segala kesilapan.

“Aku memang sepatutnya terima segala kritikan terhadap karya aku. Akan terus perbaiki kesilapan-kesilapan dalam karya di masa akan datang. Maaf semua,” ujarnya.

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian XTRA ciapan terbabit telahpun dipadam.

Menjengah reaksi ciapan terbabit, rata-rata netizen memberi sokongan terhadap Syafiq untuk tidak mengendahkan segala kritikan.

Pada Jun tahun lalu, Syafiq pernah berkongsi luahan perasaannya di Twitter yang menggambarkan abangnya, Syamsul mempunyai sentuhan magis dalam perfileman seperti bapa mereka, Datuk Yusof Haslam.

“Abang aku memang dari dulu ada this golden touch sama macam papa aku masa muda. Aku je yang filem kadang-kadang laku, kadang-kadang tak laku.. Tapi tak apa, rezeki itu ketentuan Tuhan. Yang penting kita jalan terus buat sebaik mungkin,” ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita mengenai perkahwinan kedua abangnya bersama Ira Kazar, Syafiq berkata dia mempercayai Syamsul seorang sangat tabah dan mengharungi ujian tersebut.

Artikel Berkaitan: “Kali Terakhir Saya Jumpa…” – Syafiq Yusof Harap Abang Tabah Hadapi Ujian Rumah Tangga

Aqilah Paharuzi