Sesak Nafas Berterusan, Wan Maimunah Masuk Hospital

Pelakon veteran, Wan Maimunah Abdul Aziz dimasukkan ke Hospital Alor Gajah sejak semalam, akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Aktres berusia 64 tahun ini dilaporkan mengalami sesak nafas selepas melawat salah seorang adiknya di Gadek, Alor Gajah, semalam.

“Doktor yang melakukan x-ray memaklumkan ada sedikit jangkitan kuman pada bahagian paru-paru. Adatlah, selain faktor cuaca, umur pun sudah macam (lanjut) ini.

“Ibu bersyukur sangat, dalam pada tidak ada Facebook, Instagram, tetapi ibu terima lebih lima kiriman WhatsApp dari Makkah yang mengirimkan doakan dari sana. Itu pun sudah seribu rahmat buat ibu,” katanya kepada BH Online, hari ini.

Dalam linangan air mata, Wan Maimunah berkata, dia sentiasa bersyukur kerana dikelilingi ramai insan istimewa yang sentiasa memberikan perhatian dan kasih sayang tidak berbelah bahagi walaupun tidak mempunyai ikatan persaudaraan.

“Allah SWT hendak uji kita. Agaknya, ada waktu ibu leka, lalai. Beginilah Allah kejutkan. Syukur, dalam waktu ini masih boleh lagi meneruskan kehidupan.

“Cuma, rasa letih sebab sesak nafas, terkejut sangat sebab tidak pernah mengalami keadaan seperti ini,” katanya yang sesekali batuk.

Pada akhir November 2016, pelakon itu pernah dimasukkan di Hospital Jasin, akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan jantung bengkak.

Sama-sama kita doakan agar Wan Maimunah diberi kesembuhan segera. Insha Allah…

SGMS Faida