“Show Ini Untuk Mereka!” – Realisasi Impian Peminat, Kugiran Masdo Teruja Kongsi Pentas Dengan The Changcuters

Kugiran popular Malaysia, Kugiran Masdo bakal berkolaborasi bersama kumpulan Indonesia dalam sebuah konsert buat pertama kalinya.

Walaupun berbeza dari segi genre dan bahasa, Kugiran Masdo menyifatkan muzik itu universal dan serumpun malah mampu menjadikan kugiran dari Malaysia dan Indonesia ini bersatu serta bakal menghimpunkan rantaian peminat yang menjadi tulang belakang mereka.

Sehubungan itu, buat julung kalinya, Kugiran Masdo Empire (KME) sebagai peneraju akan menganjurkan konsert yang menggabungkan ‘kolaborasi pecah’ antara Kugiran Masdo dan The Changcuters.

“Kita rancang kolaborasi bersama-sama sebab kita (Kugiran Masdo) tidak segila-gilaan The Changcuters.

“Kita nak tengok gabungan ini jadi apa, itu istimewanya. Kita sendiri pun menanti-nantikan kolaborasi itu,” kata Putu Ceri ketika ditemui pada sidang media Konsert Kugiran Masdo x The Changcuters di Petaling Jaya, 5 Disember lalu.

Tambah, KME berbesar hati menggabungkan dua kumpulan itu dan menyifatkan ia sebagai tanda menghargai, menyokong dan menghormati muzik dua negara.

“Sebagai penganjur KME mahu membawakan sebuah hiburan yang bersifat nusantara dan sangat berbesar hati kerana dapat menyatukan Masdo bersama The Changcuters.

“Ini melambangkan muzik tempatan atau dari negara jiran tidak ada beza jika kita saling menghargai, menyokong dan menghormati,” kata wakil penganjur KME, Putu Ceri.

Ditanya mengenai strategi untuk memastikan kolaborasi bersama The Changcuters mendapat sambutan, Kugiran Masdo memaklumkan bahawa mereka memberi keutamaan kepada impian peminat sebagai strategi menarik minat penonton.

“Apa yang kita buat sebenarnya lebih kepada merealisasikan impian peminat untuk berkolaborasi dengan The Changcuters. Jadi, kita lebih ke situ dan kami patut buat show untuk mereka (peminat),” ujar Putu Ceri.

Malah, The Changcuters yang terkenal dengan genre garage rock juga menzahirkan rasa teruja untuk kembali di Malaysia setelah sekian lama tidak membuat persembahan di hadapan peminat terutamanya Changcut Rangers.

“Tentu sekali lamaran yang diberi tidak akan disia-siakan. Kugiran Masdo adalah sebuah maniac di Indonesia dan The Changcuters sangat berbesar hati untuk berkongsi panggung dengan mereka.

“Kami akan pastikan malam Kugiran Masdo X The Changcuters adalah momen tak terlupakan buat semua penggemar kami,” jelas The Changcuters.

 

Untuk info, Kugiran Masdo yang bergenrekan irama 60-an itu telah menjadi kegilaan di Indonesia dan menjadikan kumpulan ini sebagai ‘pemuzik wajib’ dalam kebanyakan festival yang diadakan di serata republik itu.

Kolaborasi itu dijadual berlangsung pada 29 Disember 2022 yang bertempat di Zepp KL.

Sehubungan itu, tiket sudah mula dijual menerusi https://tapau.asia/ticket bermula harga RM159 (Minami), RM179 (Berchanda), RM199 (Gila Gilaan), RM249 (Amore) dan RM799 (VIP Box).

Atiqah Johari