Categories: HiburanSelebriti

Sibuk Urus Anak, Niena Baharun Tiada Masa Layan Sosial Media

Sejak bergelar ibu, pelakon Datin Niena Baharun mengakui sukar meluangkan masa melayari sosial media.

Beliau ketika ditemui di majlis pelancaran ParisFairies Scarves di Greenhouse Ampang baru-baru ini memaklumkan jadual hariannya berubah drastik sejak tiga bulan lalu.

“ Tumpuan kini diletakkan sepenuhnya kepada anak lelaki, Adiel Mikael yang kini berusia tiga bulan. Nak keluar rumah pun saya kena berfikir beberapa kali memandangkan anak masih terlalu kecil. Apatah lagi nak melayan Instagram, jauh sekali,” katanya tertawa.

Pelakon Jangan Benci Cintaku ini memaklumkan dia juga kini dalam tempoh berehat daripada aktiviti seni.

“ Memang ada tawaran drama yang datang cuma saya terpaksa tolak dengan baik. Anak masih terlalu kecil dan dia juga masih menyusu badan.

“ Buat masa ini saya masih belum berfikir untuk kembali ke set. Memang rindu tetapi masa tidak mengizinkan. Tunggu dulu bila anak dah besar sikit, Insya Allah saya akan kembali berlakon,” katanya.

Ditanya sama ada suaminya Datuk Aliff Firdaus Abdul Hadi mengizinkannya kembali aktif semula dalam bidang lakonan, Niena memberitahu dia tiada masalah untuk itu.

“ Cuma suami ada pesan kalau tawaran telefilem lebih okay berbanding drama. Ini kerana drama jadual penggambarannya panjang dan memerlukan komitmen tinggi. Kesian pula pada si kecil yang kena tinggal dekat rumah,” katanya.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada awal Februari 2018 di Kota Bharu, Kelantan.

SGMS Faida