Sisi Matang Aziz Harun Dalam ‘Jauh’

Selepas kejayaan ‘Senyum’ dan ‘Jangan’, Aziz Harun kembali dengan single terbaru berjudul Jauh.

‘Jauh’ mengisahkan tentang hubungan yang tidak berhasil dan menerusi liriknya, Aziz menggambarkan usahanya untuk mengekalkan hubungan itu, namun perkara-perkara yang diharapkannya itu tidak berlaku.

Kata Aziz, dia menggunakan tajuk ‘Jauh’ sebagai metafora untuk menjelaskan mereka tidak ditakdirkan untuk bersama serta tidak mahu apa-apa selain yang terbaik untuk kekasihnya.

” Saya sangat gembira dengan penghasilan lagu ini dan percaya konsep akustik balada tersebut lebih dekat dengan cita rasa pendengar muzik di Malaysia,” kata Aziz ringkas. 

Penyanyi kelahiran Brunei Darussalam ini bukanlah asing buat peminat muzik tempatan apabila lagu-lagu nyanyiannya mendapat jutaan tontonan di laman YouTube sebelum ini.

Lagu hit terakhir dendangannya ialah ‘Hana’ duet bersama Hannah Delisha yang dijadikan OST untuk drama ‘Alamatnya Cinta’. Karier seni Aziz Harun di Malaysia bermula seawal usia 16 tahun menerusi lagu debut berjudul ‘Senyum’ dan berjaya memikat hati pendengar di negara ini sejak 2015.

Video muzik ‘Jauh’ telah dilancarkan sejak 19 April 2019.

SGMS Faida