Siti Bainun Takut Keluar Rumah, Akui Kehidupan Sudah Musnah – “Saya Hilang Segala-Galanya…”

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa dirinya diugut bunuh, dicemuh dan hilang pendapatan sejak kes pertuduhan terhadapnya tular.

Memetik laporan Berita Harian, dia membela diri tanpa kehadiran peguam belanya menyatakan bahawa saksi pendakwaan pertama, Zurianty Sudin telah menjejas dan memusnahkan hidupnya.

“Saya dikecam dan diugut bunuh sejak daripada kes ini tular sehingga ke hari ini, hampir setiap masa.

“Saya juga dicemuh, dihina disebabkan tindakan Zurianty menyebarkan video Bella yang disunting.

“Rumah Bonda juga ditutup dan saya sudah pulangkan rumah yang saya ubah suai bagi tujuan keselesaan penghuninya dengan wang sumbangan.

“Saya hilang pekerjaan, perniagaan makanan saya seperti dipulaukan. Pendek kata, saya hilang segala-galanya kerana tuduhan tidak berasas ke atas saya ini,” katanya.

Selain ugutan, dia juga takut untuk keluar rumah dan nyawanya pernah diancam semasa hendak mendapatkan rawatan di hospital.

“Saya dapatkan rawatan di hospital pun, ada jururawat yang cuba membahayakan saya sehingga peguam terpaksa masuk campur untuk pastikan keselamatan saya,” ujarnya.

Terdahulu pagi tadi, Hakim Izralizam Sanusi membuat penetapan prosiding kes pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom down, Bella, perlu diteruskan kerana tidak mahu kes tersebut ditangguh lagi.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen di sini, Siti Bainun diperintah membela diri atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella,13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Maya Basir