Sophia Koshka Sedia Lakonkan Watak Gadis Kampung, Dianggap Kurang Sesuai Kerana…

Pelakon Sophia Koshka atau nama sebenarnya Sophia Albarakbah, 27, sedia melakonkan watak gadis kampung sekiranya mendapat tawaran dari mana-mana produksi.

Menurut pelakon jelita itu, ramai yang menganggap dirinya kurang sesuai melakonkan watak tersebut kerana berdarah campuran.

“Saya sendiri mengakui wajah saya seakan kurang sesuai dengan watak gadis kampung, namun ia bergantung juga pada bentuk watak.

“Sebagai pelakon saya sentiasa terbuka untuk terima apa sahaja watak yang diberikan. Sekiranya okey saya akan ambil,” katanya .

Sebelum ini, pelakon yang berdarah kacukan Melayu, Arab dan Cina ini mendapat pujian penonton menerusi watak yang dibawakan sebagai Cahaya Malaika dalam drama Suamiku Lelaki Pendosa.

“Saya tidaklah popular sangat tapi dah makin ramai yang kenal sejak drama Suamiku Lelaki Pendosa. Tapi saya belum biasa sangat dan masih lagi segan dengan perhatian yang diberikan.

“Bila saya keluar ke mana-mana dan orang minta bergambar, saya tertanya-tanya betulkah orang kenal saya?

“Apapun saya gembira dan bersyukur orang meminati lakonan saya dan ia jadi pembakar semangat untuk saya terus buat yang terbaik,” jelasnya.

Kini, Sophia tampil dengan drama Air Mata Allisya gandingan bersama Keith Foo yang ditayangkan sejak 20 Mei lalu, setiap Jumaat, jam 8.30 malam di TV9.

 

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain