‘Suara Dia Lagi Sedap Daripada Saya’- Khai Bahar Lega Buat Pilihan Tepat!

Bertemakan “BBNU Lelaki”, artis jemputan Khai Bahar telah diberi tanggungjawab untuk mengenal pasti kesemua penyamar bagi episod kedua I Can See Your Voice Malaysia 2 (ICSYVMY 2).

Dengan bantuan panel penyiasat yang turut disertai oleh Ismail Izzani dan Intan Najuwa sebagai penyiasat jemputan, Khai bernasib baik kerana dia berjaya memilih seorang penyanyi sebenar bernama ‘Doom Doom Drum’ (Muhammad Hakimi Bin Mohd Shukabul Yamin) untuk menjadi pasangan duet. Secara automatiknya, Hakimi telah mendapat tiket emasmembuat persembahan bersama artis-artis ternama tanah air di Showcase ICSYVMY 2.

Terdahulu, Khai sangkakan dia membuat keputusan yang salah untuk menyingkirkan ‘Bihun Sedap’ (Mohamad Iza’an Bin Abdul Talib) kerana jejaka misteri ini juga merupakan seorang penyanyi sebenar! Shuk mengusik Khai yang dia tidak akan dapat tidur lena malam nanti kerana membuat pilihan yang salah. “Tidur lena! Saya akan tidur lena sebab suara dia lagi sedap daripada saya,” jawab Khai sambil ketawa.

Terpegun dengan suaranya yang merdu ketika menyanyikan lagu berjudul ‘Luluh’, ramai yang terjatuh hati sehingga persembahannya itu menjadi topik perbualan hangat di laman media sosial. 

Di pusingan pertama pula, Jihan Muse selaku penyiasat tetap telah cuba sedaya upaya untuk meyakinkan Khai yang bahawa penyanyi misteri ‘Putera Dimsum’ adalah seorang penyanyi sebenar.

Namun, cubaan Jihan itu gagal kerana Khai tetap membuat keputusan untuk menyingkirkannya. Setelah disingkirkan, penyanyi misteri yang bernama Fariq Iqhwan Amir Azwa ini dijemput untuk ke pentas penentuan dan mendedahkan suara sebenarnya. 

Mendendangkan lagu berjudul ‘Hanya Mimpi’ nyanyian asal oleh Caliph Buskers, Khai hanya mampu meminta maaf kepada Fariq setelah melihat persembahannya yang turut didampingi oleh kumpulan koir. Seperti yang diteka oleh Jihan, penyanyi misteri berbaju corak pisang ini sememangnya adalah seorang penyanyi sebenar!

Dua lagi penyanyi misteri telah disingkirkan di pusingan kedua. Selepas melihat persembahan lip-sync mereka, Khai tidak berapa yakin dengan ‘Aku Tampan Aku Tau’ (Muhammad Muizzuddin Bin Abdul Mutalib) dan ‘Henshin Bertukar Lagi’ (Muhammad Fuad Danish Bin Jalani) lantas mereka disingkirkan lalu harus mendedahkan suara sebenar masing-masing di pentas penentuan.

Sekali lagi, Khai menyesal kerana salah seorang penyanyi misteri yang dipilih itu merupakan seorang penyanyi sebenar, manakala lagi seorang pula adalah penyamar. Ada yang sangkakan bahawa Fuad boleh menyanyi kerana gurunya yang juga pernah menyertai program ini di musim pertama adalah seorang penyanyi sebenar.

Untuk pusingan ketiga, tiga ahli penyiasat perlu mempertahankan seorang penyanyi misteri. Mereka diberi peluang untuk mendengar secara individu rakaman suara sebenar penyanyi misteri. Khai perlu membezakan benar atau bohong berdasarkan penerangan ahli penyiasat dan telah diberi masa 100 saat untuk berbincang dengan ahli penyiasat dan penonton sebelum membuat keputusan. 

Selepas selesai berbincang, Khai telah menyingkirkan ‘Jalan Jalan Cari Makan’ (Mohd Zairul Hafizi Bin Mohd Khalis). Kali ini, tekaan Khai tepat kerana Zairul memang seorang penyamar bersuara sumbang, walaupun rupanya yang kacak itu kelihatan seperti dia bolehm menyanyi.

ICSYVMY musim kedua dihoskan oleh dua pengacara yang sememangnya lucu dan pasti membuatkan penonton tidak kering gusi iaitu Shuk Sahar dan Sean LJE. Manakala tugas sebagai “penyiasat tetap” pula masih lagi digalas oleh Jihan Muse, Mark Adam dan Seelan Paul sama seperti musim pertama. 

SGMS Faida