Sweet Qismina Buka Peluang Bersedekah Melalui IG

Pelakon berbakat, Sweet Qismina membuka peluang buat pengikut Instagramnya (IG) untuk bersama-sama memperoleh pahala bersedekah di Tanah Suci Mekah apabila dia dijadualkan berangkat menunaikan umrah pada Ahad ini. 

Tiga hari lepas, Sweet telah memuat naik satu entri di akaun IG miliknya di mana dia memaklumkan niatnya untuk berkongsi pahala dengan pengikutnya. 

Menurut Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi (22), dia akan mengutip wang bagi tujuan bersedekah di Mekah dan Madinah sebagai salah satu amal ibadatnya di Tanah Suci nanti. 

Terkini, Sweet telah berjaya mengumpul lebih dari RM4,000 daripada pengikut Instagramnya dan telah menunjukkan bukti kutipan beserta nombor akaun menerusi kemas kini di IG. 

“InshaAllah wang sedekah ini akan saya gunakan sebaik mungkin ketika berada di Madinah dan Mekah nanti. 

“Saya sudah mendapat maklumat kedai yang menawarkan penyediaan makanan dan minuman untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan.  Saya terdetik untuk melakukan usaha murni ini selepas menghadiri kursus apabila ustaz memaklumkan ganjaran bersedekah di Tanah Suci. 

“Mungkin tidak semua orang berkemampuan untuk pergi menunaikan umrah, jadi saya nak wakili mereka dengan membawa duit sumbangan yang diberikan supaya mereka juga dapat pahala yang berganda,” katanya ketika dihubungi Harian Metro. 

Sweet yang akan berada di Mekah sehingga 6 Februari depan berkata dia terpanggil untuk mengajak orang ramai untuk bersedekah di sana supaya mereka turut mendapat pahala berlipat kali ganda.

Dalam pada itu, kekasih kepada pelakon Adam Lee ini  juga akan menyertakan bukti setiap kali hasil kutipan sumbangan itu digunakan supaya tidak ada yang mempersoalkannya kelak. 

“Saya akan memuat naik video dan gambar hasil sedekah yang anda hulurkan dari semasa ke semasa.  Lagipun jumlah yang dikutip tidak besar, namun amanah ini akan saya jaga. 

“Takkan saya ada niat jahat dengan duit yang orang ramai berikan.  Saya pun nak mengerjakan umrah dan berada di Tanah Suci,” kata Sweet yang menyasarkan kutipan sebanyak RM5,ooo hingga RM10,000 untuk di bawa ke sana. 

Pelakon filem Pusaka ini juga meluahkan rasa gembiranya kerana dapat membawa ibu tersayang menunaikan umrah setelah sekian lama berhajat untuk menjejakkan kaki ke sana dan turut meminta orang ramai supaya mendoakannya memandangkan ia juga merupakan Umrah pertama buat Sweet. 

Kredit: Instagram @sweetqismina

Del14