Tak Jadi Buka Taska, Hafiz Mahamad Beri Elaun Taska RM350 Sebulan Kepada Staf

Usahawan popular, Hafiz Mahamad sekali lagi mencuri perhatian ramai dengan sifat pemurah selepas memutuskan untuk memberi elaun taska RM350 kepada setiap pekerjanya yang mempunyai anak.

Terdahulu, Hafiz pernah memberitahu dia berhasrat ingin membuka taska untuk anak-anak pekerjanya.

Namun begitu, hasrat dan impian Hafiz tidak dapat dicapai selepas mengambil kira risiko-risiko yang ada.

“Kan saya pernah cakap sebelum ini, saya nak buka nursery untuk staf saya supaya anak-anak mereka boleh duduk kat nursery tu kan? Jadi, jawapan dia, jadi ke tak buka tu? Jawapan saya tidak jadi.

“Tapi saya tukarkan kos itu kepada kos elaun. Bagi elaun dekat staf-staf saya untuk mereka bayar nursery dekat luar sana.

“Kenapa saya tidak jadi buka kerana risiko dekat luar sana lebih banyak dari yang baik tu. Sebagai contoh, benda yang baik tu adalah objektifnya saya nak meringankan beban staf-staf saya yang kena bayar nursery yang mahal kat luar sana tapi risikonya bila saya buka, contoh, bila satu anak sakit, so anak-anak staf saya akan berjangkit sakit tu. Jadi saya kena bertanggungjawab.

“Jadi seorang anak sakit, seorang ibu kena bercuti. 10 anak sakit, 10 staf akan bercuti,” katanya menerusi Instagram Story miliknya.

Walaubagaimanapun, Hafiz tetap ingin meringankan beban mereka dengan memberi elaun sebanyak RM350 sebulan untuk seorang anak sebagai perbelanjaan bagi menghantar anak-anak mereka ke pusat penjagaan kanak-kanak yang lain.

Nurul Hana