Tak Sabar! Senario Bakal Buat Comeback Menerusi Jaga-Jaga Senariounion

Peminat Senario kini dapat menantikan kemunculan mereka melalui filem terbaru yang kini dalam penggambaran.

Perkara ini dikongsikan oleh kumpulan pelawak itu sendiri menerusi hantaran Instagram mereka baru-baru ini.

Hantaran itu adalah siaran semula hantaran Instagram @missbobby.k yang turut membintangi penggambaran terbaru ini.

“Dengan lafaz Bismillah, we are back!” tulisnya di ruangan kapsyen.

 

Bersama-sama dengan hantaran terbabit, terdapat gambar yang dimuat naik menunjukkan buku skrip filem yang tertulis ‘Jaga-jaga Senariounion’.

Senario juga banyak berkongsi keadaan semasa penggambaran mereka melalui Instagram @senariounion.

Pada hari ketiga penggambaran, Yassin dan Azlee tampil dalam video meminta peminat untuk menantikan kemunculan mereka.

“Kepada peminat-peminat, jangan lupa tunggu filem terbaru daripada Senario Union yang diberi judul Jaga-Jaga Senariounion.

“Dapatlah kami menghiburkan hati anda. Dapatlah kami lepaskan rindu anda. Doakan yang terbaik,” kata mereka di sebuah hantaran Instagram.

 

Jaga-Jaga Senariounion arahan Aziz M. Osman turut dibarisi ahli Senario yang lain seperti Saiful Apek, Wahid dan Hamdan.

Filem itu juga menampilkan pelakon yang pernah membintangi dalam filem Senario Lagi pada tahun 2001 seperti Syanie Hisham dan Miss Bobby.

Ramai peminat tidak sabar dengan kemunculan terbaru Senario malah, ada juga yang mengimbau kembali babak-babak di dalam filem Senario sebelum ini melalui komen-komen yang ditinggalkan.

“Lepas ni Wahid nak curi kereta apa pula ya?”

“Hahaha lepas ni Wahid nak curi kereta apa pulak ya? Harap-harap Yassin tidak silap naik kereta lagilah. Grab banyak dah sekarang ni,” komen seorang peminat yang mengimbau babak Wahid mencuri kereta di dalam Senario Lagi.

Gambar Azlee bersama Syanie yang dimuat naik di laman Instagram itu juga membuatkan seorang peminat teringat dialog lucu diantara mereka di dalam filem Senario Lagi.

“Itulah awak, asal gaduh je nak balik rumah mak. Rumah mak saya pulak tu” komen seorang peminat.

Arfah