Tak Sampai 24 Jam Tular, Ebit Lew Hadiahkan Kereta Pada Ibu Tunggal & Anak OKU -“Ya Allah.. Anak Rezeki Kita..”

Kisah menyayat hati perjuangan hidup ibu tunggal, Azimah Abd Rahim, 37, terpaksa membawa anaknya, Nurainul Zahirah Rashidi yang merupakan orang kurang upaya (OKU) buta kekal ketika bekerja sebagai penghantar makanan tular semula di media sosial.

Tidak sampai 24 jam kepayahan Azimah kembali diperkatakan orang ramai, pendakwah selebriti terkenal, Ustaz Ebit Lew menghadiahkan sebuah kereta Perodua Viva kepada Azimah dan anaknya.

Pernah membantu Azimah ketika kisahnya pernah viral sekitar Januari lalu, Ebit berkongsi perasaan sayu dan sebak berjumpa semula dengan wanita cekal itu.

“Sebak sayu hati bila ziarah akak ni tadi. Kuatnya seorang ibu demi membesarkan anak dengan kerja menghantar makanan dengan mengendong anaknya,” katanya.

Difahamkan, Ebit sebelum ini menyediakan kediaman yang selesa untuk Azimah dan anaknya dan turut membayar sewa bulanan.

“Syukur pada Allah , 11 bulan lalu kami carikan rumah dan kami bayarkan sewa bulanan rumah akak ini dan anak kecilnya sehingga kini.

“Kami cuba bantu nak carikan pengasuh tetapi anak ini aktif dan tidak mahu orang lain. Beberapa pengasuh tak dapat menjaganya kerana dia perlu perhatian 24 jam oleh ibunya,” jelas Ebit.

Kisah Azimah yang menjadi penghantar makanan di sekitar Jalan Pantai Murni, Kuala Lumpur meraih simpati ramai pihak yang meluahkan rasa kagum terhadap perjuangannya untuk mencari rezeki halal meski dalam keadaan cuaca panas atau hujan.

Dalam pada itu, Azimah mengalirkan air mata apabila bertemu Ebit dan tidak menyangka dihadiahkan sebuah kereta.

“Menangis akak terharu dalam kereta hadiah untuknya sambil peluk anaknya dan kata, ‘Ya Allah.. anak rezeki kita. Tak sangka dapat rezeki begini,” tulis Ebit di kapsyen.

Kredit foto: Kosmo, Facebook Ustaz Ebit Lew

Aqilah Paharuzi