Tampil Berani Lancar Single Raya, The Gadys Lepas Geram 2 Tahun Tak Balik Kampung

The Gadys yang dianggotai oleh empat wanita cantik iaitu Nelissa Nizam, Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Faa Zaini meluahkan rasa tidak sabar untuk memperkenalkan nama dan juga bakat mereka di persada muzik tanah air.

Sebagai perkenalan dalam industri seni ini, mereka yang berjaya mengumpul 1.6 juta tanda suka di akaun aplikasi TikTok tampil berani melancarkan single raya pertama berjudul ‘Gadys Raya’, hasil ciptaan Romeo, Glow Rush, Nick Ariff dan Acap Salim.

Difahamkan lagu berkenaan berkisar pengalaman anggota The Gadys yang tidak dapat pulang ke kampung halaman meraikan lebaran dua tahun lalu akibat pandemik.

“Kerinduan kami bakal terubat tahun ini setelah kerajaan mengumumkan fasa endemik. Keseronokan pulang ke kampung halaman untuk bertemu dan berkumpul bersama sanak saudara, memasak juadah dan membuat persiapan raya bersama-sama keluarga tercinta semuanya diabadikan menerusi lagu ini,” kata mereka.

Menceritakan mengenai maksud disebalik lagu tersebut, Aznie memberitahu ada mesej penting yang ingin disampaikan oleh mereka dalam lagu ini.

“Sebenarnya di sebalik keceriaan lagu itu yang menceritakan bagaimana penat lelah membakar lemang, memakai pakaian raya yang baru, menikmati juadah di pagi raya bersama-sama, kami sebenarnya menyampaikan mesej agar jangan mengenang barang atau perkara yang sudah lepas.

“Proses rakaman untuk lagu ini sangat berbeza kerana penerbit mementingkan karakter setiap seorang daripada kami. Dengan adanya karakter, proses rakaman menjadi lebih seronok. Kami akui sangat ‘enjoy’ sepanjang proses rakaman, team juga sangat terbuka dengan idea daripada kami. Jadi ia dapat menonjolkan setiap karakter anggota The Gadys,” kata gadis berasal dari Kedah itu.

Berkongsi pula mengenai proses rakaman, mereka berkata semuanya berjalan lancar dan setiap individu memainkan peranan penting serta sangat ‘supportive’.

“Walaupun terpaksa menunggu lama sewaktu proses rakaman muzik video, kami tidak mengeluh kerana sudah terbiasa menjalani penggambaran sehingga lewa malam. Bagaimanapun penantian itu berbaloi,” luah Ayunie yang mengakui rasa berdebar menunggu hasil muzik video.

Penubuhan The Gadys bermula sebagai kenalan dan rakan di bidang lakonan dan ada di antara mereka adalah rakan seuniversiti.

Hubungan mereka mula menjadi akrab selepas program game show yang dikenali sebagai The Next My Star pada 2020. Sejak itu mereka tidak boleh berenggang sehingga wujudnya The Gadys.

Biarpun dibesarkan dengan personaliti dan latar belakang berbeza, mereka bagaimanapun minat yang sama iaitu pada bidang seni dan mereka juga kini saling melengkapi di antara satu dengan yang lain.

Lagu GADYS RAYA akan dilancarkan di semua platform seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 8 April, manakala muzik video mereka pula boleh ditonton di saluran YouTube The Gadys juga pada hari yang samajam 9 malam

Aqilah Paharuzi