Tayang Badan Demi Tuntutan Kerja, Ikhram Juhari Sedia Terima Kecaman

Pelakon Ikhram Juhari mengakui sudah bersedia dikecam selepas membuat kuputusan untuk menayang badannya menerusi filem aksi ketenteraan Malbatt Misi Bakara.

Menurut Ikhram, biarpun sebelum ini dia pernah mengeluarkan kenyataan untuk tidak menunjukkan badan sasanya, namun demi tuntutan kerja dia terpaksa melakukannya.

“Memang benar, sebelum ini saya ada keluarkan kenyataan tidak mahu tayang badan, tetapi sekarang saya lakukannya (ketawa).

“Sebenarnya saya berfikir banyak kali juga sebelum memutuskan untuk tayang badan. Namun, saya hanya buat untuk filem sahaja, tidak dalam drama.

“Saya hanya tayang badan untuk kerja bukannya suka-suka. Setakat ini peminat memahami tujuan saya berbuat demikian adalah demi kerja, apa pun saya sudah bersedia andai dikecam selepas ini,” katanya.

Memetik laporan Kosmo, Ikhram turut menyatakan babak tersebut merupakan satu keperluan selepas meneliti kesesuaian keadaan dan skrip.

“Babak (tidak berbaju) itu memang perlu kerana keadaan cuaca yang panas. Saya melihat kesesuaian babak dan keadaan terlebih dahulu. Jika nak tahu lebih lanjut tontonlah filem ini tahun depan,” kata Ikhram.

Dalam pada itu, Ikhram turut mendedahkan dirinya sanggup berhabis wang ringgit untuk membina badan dan berdiet demi menghidupkan wataknya sebagai seorang tentera serta menyahut cabaran pengarahnya, Adrian Teh.

“Rutin harian sebelum penggambaran bermula adalah bersenam di gimnasium, bersauna untuk membuang air di dalam badan dan berjemur 20 minit bahagian depan serta 20 minit bahagian belakang badan demi mendapat kulit yang gelap.

“Memang agak terseksa kerana saya hanya boleh mengambil protein dengan makan enam biji telur masak sebagai sarapan dan ikan tilapia rebus buat hidangan tengah hari selain buah-buahan.

“Selepas pukul enam petang, saya tidak akan makan. Saya tidak boleh mengambil karbohidrat kerana akan menjadikan perut buncit, sebab itu sebelum dan semasa penggambaran memang saya amat menjaga pemakanan.

“Rakan pelakon seperti Hairul Azreen dan Shaheizy Sam banyak memberi tunjuk ajar untuk mendapatkan badan yang sesuai dalam filem ini,” jelasnya.

Selain Ikhram, Shaheizy Sam dan Hairul Azreen,  filem ini juga bakal dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Adlin Aman Ramlie, Bront Palare, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly, Gambit Saifullah, Dafi Ismail Sabri, Safwan Nazri, Nafiez Zaidi, Taufiq Hanafi dan Theebaan G.

Sumber: Kosmo

Fatin Nurain