Terbang ke Palu, Fara Fauzana Ajak Zara Zya, Shila Amzah Dan Jihan Muse Sertai Bantuan Kemanusiaan

Personaliti popular, Fara Fauzana mengumumkan bakal berangkat ke Palu, Sulawesi Tengah pada 19 Januari sehingga 24 Januari depan bersama empat rakan artis iaitu Zara Zya, Shila Amzah dan Jihan Muse.

Fara ketika dihubungi sebentar tadi memaklumkan misi bantuan kemanusiaan yang diberi nama Dapur Kasih Sulawesi ini turut mendapat kerjasama badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) My Hope Hero.

“ Sebenarnya saya sudah menyuarakan hasrat untuk pergi ke Palu sejak September tahun lalu lagi iaitu selepas kejadian Tsunami melanda kawasan itu. Namun atas kekangan waktu tiga lagi sahabat baik iaitu Zara, Shila dan Jihan yang sibuk dengan jadual masing-masing, maka saya tangguhkan seketika hasrat itu.

“ Alhamdulilah, Allah SWT perkenan doa saya untuk ke sana bagi memberikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk terjejas. Maksud bantuan di sini adalah dari segi memulihkan emosi mereka dengan mengadakan beberapa aktiviti sesuai seperti menghidangkan juadah lazat,” katanya kepada XTRA.

Akui penyampai program digital D Bilique ini, dia dan rakan-rakan bakal menyediakan hidangan istimewa yang dimasak khas oleh Zara Zya.

” Dalam kumpulan kami, Zara antara yang pakar dalam bab memasak. Jadi kami lantik dia sebagai ketua chef sepanjang berada di sana nanti. Saya pakar dalam bab masak nasi (sambil ketawa).

” Jangkaan awal, saya ramalkan kami perlu menyediakan hidangan untuk 2,000 penduduk di kawasan terjejas. Selain aktiviti memasak dan mendekati penduduk setempat, kami akan cuba menenangkan emosi mereka.

” Perlu faham, ramai di antara mereka yang hilang tempat perlindungan dan ahli keluarga dalam kejadian Tsunami. Menjadi fokus utama kami untuk membuat mereka tersenyum kembali,” katanya.

Terdahulu, Fara pernah menyertai beberapa misi kemanusiaan termasuklah menghulurkan bantuan kepada pelarian Syria di wilayah Gaziantep, Turki pada Disember 2017.

SGMS Faida