Terima Hadiah Gitar Dari Peminat Misteri, Amir Masdi Akui Terharu – “Terasa Begitu Dihargai”

Penyanyi Amir Masdi meluahkan rasa terharu selepas menerima hadiah gitar dan sepasang kasut berjenama mewah sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-26, baru-baru ini.

Menurut Amir, dia tidak tahu siapa yang memberi gitar berwarna merah jambu itu, manakala kasut jenama Adidas Gucci pula hadiah daripada kelab peminatnya, Ampire.

“Saya tidak sangka dapat hadiah itu. Gitar jenama Greatsch itu kalau tidak silap saya mencecah RM3,000. Tetapi, sampai sekarang saya tidak tahu siapa yang hadiahkan kerana pemberi tidak letak nama.

“Paling terharu apabila ahli kelab peminat Ampire mengumpulkan duit untuk membelikan kasut. Saya terharu sangat dengan tanda ingatan ini.

“Terasa begitu dihargai dan disayangi. Terima kasih kepada semua yang menyokong kerjaya saya selama ini,” katanya.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Amir juga turut meluahkan rasa bersyukur selepas berjaya memiliki piano digital sempena ulang tahun kelahirannya.

“Saya beli piano berwarna putih itu pada harga RM7,000 dengan hasil titik peluh sendiri. Memang sudah lama saya idamkan untuk buat latihan dan asah kemahiran muzik. Selama ini, saya berlatih menggunakan gitar.

“Sebelum ini, saya berhajat untuk beli dram, tetapi mengenangkan ruang saya berkarya tidak dilengkapi dengan sistem kedap bunyi, lebih baik saya beli piano. Jadi, saya tidak mengganggu jiran dengan bunyi kuat,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Fatin Nurain