Alami Batuk Berpanjangan & Sesak Nafas, Aiman Tino Dimasukkan Ke Hospital

Penyanyi Aiman Tino telah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Setapak,  selepas mengalami masalah sesak nafas, sejak Ahad lalu.

Berita itu telah dimaklumkan oleh ibunya, Hazelina Mat Jalil selepas memuat naik foto Aiman yang sedang berbaring sambil memakai alat bantuan pernafasan di Instagramnya.

“Mak doakan Aiman cepat sembuh,” tulisnya.

Menurut Hazelina, Aiman dibawa ke hospital untuk pemeriksaan rapi selepas mengalami gejala batuk berpanjangan.

“Memang kalau tengok keadaannya agak merisaukan. Jadi kami bawa Aiman buat pemeriksaan dengan pakar supaya dapat kenal pasti masalah sebenar dihadapinya.

“Selepas itu doktor mengusulkan supaya dia dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan menyeluruh.

“Pemantauan juga akan dilakukan bagi memastikan sama ada terdapat jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya.

Namun, ibu kepada penyanyi itu memaklumkan keadaan Aiman kini semakin positif biarpun perlu menggunakan oksigen untuk menstabilkan pernafasan.

Memetik laporan Kosmo, Hazelina turut meluahkan kebimbangannya jika anaknya itu menghidap lelah biarpun tiada sejarah dia pernah berhadapan masalah tersebut sebelum ini.

“Sebagai ibu sudah pasti hati tak tenang setiap kali anak-anak kurang sihat, sampaikan kita pun susah tidur lena.

“Walaupun masing-masing sudah besar panjang, saya sentiasa anggap anak-anak masih kecil terutama ketika mereka sakit.

“Alhamdulillah Aiman dalam keadaan stabil dan perlu berehat serta menggunakan bantuan oksigen,” katanya.

Sumber: Kosmo & Instagram Riena Yusri

Fatin Nurain