“Terima Kasih Kerana Mendoakan. Saya Dah Fikir Semasak-Masaknya” – Elyana Perjelas Isu Tak Berhijab

Baru-baru ini, nama penyanyi Elyana heboh menjadi perbualan netizen selepas kontroversi membabitkan dirinya dikatakan tidak lagi memakai hijab.

Isu tersebut mula timbul setelah Elyana memuat naik gambar ‘freehair’ menerusi hantaran di Instagram miliknya telah mencetuskan pelbagai tanda tanya.

Memetik laporan Berita Harian, Elyana berkata keputusan tersebut adalah muktamad serta memilih untuk tidak mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu.

“Saya sudah fikir semasak-masaknya. Inilah saya. Terima kasih kepada semua yang mendoakan selama ini.

“Baik buruknya, saya yang akan tanggung. Jika anda boleh terima diri saya, Alhamdulillah. Jika tak boleh, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana inilah saya.

“Saya mengambil keputusan tidak menjelaskan apa-apa kerana mereka tak menginginkan penjelasan. Bila saya menjelaskannya, macam-macam versi cerita tidak masuk akal akan keluar.

“Jadi, demi menjaga jiwa dan persekitaran, saya ambil keputusan tidak menerangkan apa-apa kepada mereka yang tidak mahu memahami saya,” ujarnya.

Sementara itu, Elyana mengakui akan terus menggunakan media sosial namun akan menutup ruangan komen seketika kerana enggan mengendahkan kecaman netizen.

“Dahulu, saya sangat mementingkan jiwa dan hati orang. Sekarang, saya akan melakukan apa yang saya rasa terfikir nak buat. Baik buruk biarlah saya sendiri yang menanggungnya.

“Jadi, mungkin saya akan letak sempadan seperti menutup komen, namun, ia bukan bermaksud saya takut.

“Cuma, netizen senang sangat untuk melontarkan kata-kata,” jelasnya.

Elyana sebelum ini didakwa ‘lupa diri’ kerana tampil tidak bertudung selepas mengumumkan dirinya bebas kanser limforma pada penghujung tahun lalu, selepas 12 tahun menanggung kesakitan.

Sumber: Utusan Malaysia/Berita Harian

Kredit foto: Berita Harian

Aqilah Paharuzi