Terima Kasih Peminat, Ayda Jebat Terharu!

Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat mengaku terharu kerana single balada, Pinjamkan Hatiku telah mendapat tempat di hati peminat setelah setahun dilancarkan.

Tidak dinafikan, ramai memuji kemerduan suara Ayda menyanyi lagu tersebut melalui program realiti I Can See Your Voice Malaysia.

Yang menariknya, video antara Ayda dan peserta program realiti itu telah menjadi trending dan mencecah 1.4 juta tontonan melalui laman rasmi Youtube ntv7. Wow!

“Saya pada mulanya tidak menyedari perkara itu, tetapi apabila dimaklumkan mengenainya, saya sangat terharu. Tidak sangka lagu duet bersama Adi Priyo itu masih mendapat sokongan selepas hampir setahun dilancarkan.

“Tidak dinafikan, ada di antara peminat yang baru menyedari kehadiran lagu itu. Bagi saya, biar lambat, asalkan ada yang menghargai.” Katanya yang bersyukur dengan rezeki single balada tersebut

Menurut aktres versatil itu, peluang ini merupakan pembakar semangat untuk dirinya memberikan yang terbaik kepada peminat.

“Mungkin selama ini, peminat sudah terbiasa melihat saya menyanyikan lagu rancak. Jadi, mereka suka apabila saya cuba mencari pembaharuan dalam kerjaya nyanyian.

“Selain Pinjamkan Hatiku, saya juga merakamkan sebuah lagi lagu balada, Bagai Pelangi. Alhamdulillah, lagu itu juga mendapat pelbagai reaksi positif penonton selepas diperkenalkan lima bulan lalu.” Jelas Ayda yang dikenali dengan lagu Nakal Nakal Nakal dan Pencuri Hati

Terbaharu, drama lakonan Ayda Jebat, Cinta Bukan Kristal yang bersiaran di TV3, menampilkan pelakon hebat seperti  Sharnaaz Ahmad, Nina Iskandar dan Dayana Roza.

Akui berdebar menunggu reaksi penonton kerana watak yang dipegang, Aryana adalah antagonis.

Apapun, teruskan menonton drama Cinta Bukan Kristal, setiap Isnin sehingga Jumaat dan anda juga boleh menonton semula episod lepas dengan hanya layari kami di tonton!

Ditulis Oleh : Nik Nur Amira

Ad Ops