Categories: Hiburan

Terkejut Orang Masih Ingat…

Pernah menyepi dalam dunia nyanyian, nama penyanyi Aina Abdul kembali diperkatakan selepas lagu ciptaan dan nyanyiannya tersenarai sebagai salah seorang finalis Anugerah Juara Lagu 34 (AJL 34).

Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani yang juga naib juara Mentor Legend 2014 memberitahu, kejayaan melangkah ke AJL disifatkan sebagai satu permulaan kerjayanya kembali.

“Saya terdiam sebab tidak sangka lagu ini terpilih dan orang ramai masih ingat dengan kehadiran saya.

“Ini mungkin masa untuk saya membuktikan kemampuan saya selepas beberapa tahun ‘hilang’. Melihat kepada calon yang beraksi di pentas, saya semakin bersemangat untuk membuat yang terbaik di AJL 34 nanti,” katanya kepada Xtra.

Dalam pada itu, Aina juga memberitahu dia selesa menghasilkan lagu-lagu yang ‘dekat’ dengan kisah hidupnya.

“Seperti lagu Sumpah, saya berkongsi rasa bagaimana rasa melawan dengan diri sendiri. Sebagai manusia, graf hidup seseorang itu pada ada turun naik. Begitu juga dengan saya tidak terkecuali.

“Mungkin ramai yang ingat lagu ini berkisar mengenai cinta tetapi sebenarnya menceritakan perjuangan dalam melawan emosi,” katanya.

Sementara itu, Aina menyifatkan kejayaan lagu Sumpah dapat beraksi di AJL 34 ibarat sebagai satu permulaan untuknya.

Aina mempertaruhkan lagu Sumpah ciptaannya sendiri pada minggu ketiga separuh akhir Muzik Muzik 34.

SGMS Faida