Terkejut Ragaman Terus BOOM, Faizal Tahir Berterima Kasih Dengan Nabila Huda

Menyuntikkan elemen reggae dan pop yeh yeh dalam lagu Ragaman, single terbaru Faizal Tahir berjaya mendapat lebih satu juta tontonan di Youtube dalam masa tiga hari sahaja.

Dalam pada itu, penyanyi berusia 39 tahun ini amat berterima kasih kepada pelakon Nabila Huda yang setuju bekerjasama dalam muzik video Ragaman.

“ Nabila pilihan paling sesuai membawa watak isteri dalam video muzik ini. Saya tidak dapat membayangkan orang lain untuk memegang watak ini. Nabila adalah pilihan terbaik,” kata Faizal.

Lengkap dengan pakej berwajah klasik, ternyata pemilihan Nabila merupakan keputusan paling tepat.

“ Nabila ada daya tarikan tersendiri. Mulanya, saya sendiri gementar hendak beraksi di sisinya kerana dia pelakon yang hebat.

“ Tetapi, lama kelamaan keserasian antara kami terserlah. Hasil kerja Nabila memang sangat mengagumkan. Saya amat berterima kasih dan terhutang budi kepadanya.

“Walaupun mendapat banyak tawaran sebelum ini, Nabila belum pernah terbabit dalam mana-mana video muzik. Saya terharu kerana dia memilih Ragaman sebagai video muzik pertama lakonannya,” katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Faizal turut menampilkan dua anaknya dalam muzik video Ragaman.

“ Saya sentiasa mencari peluang untuk membolehkan anak terbabit sama dengan kerja saya. Saya mahu mereka berasakan masing-masing turut membantu saya.

“ Begitupun, membimbing dan mengawal anak kecil untuk melakukan kerja seperti ini bukanlah tugas mudah.

“ Kita memang kena banyak bersabar kerana mereka banyak ragam. Sesuailah dengan lagu Ragaman. Namun, saya suka bekerja dengan anak saya. Ia membuatkan kami lebih rapat sebagai sebuah keluarga,” katanya.- BH Online.

SGMS Faida