“Tiada Istilah ‘Sailang’ Johan & Fizi, Anggap Ia Satu Persaingan Sihat…” – Nazri Noran

Umum sedia maklum, stesen radio terkemuka, Hot FM kini menampilkan dua penyampai radio baharu yang amat dikenali ramai iatu Johan dan Fizi Ali.

Pengumuman tersebut telah mengejutkan seluruh peminat setia pendengar radio serta menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai ‘penghijrahan’ mereka daripada stesen radio terkenal.

Ekoran itu, Hot FM telah didakwa ‘mencuri’ Johan dan Fizi daripada stesen lama.

Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran tampil memberi penjelasan mengenai isu berkenaan.

Nazri menafikan dakwaan tersebut serta menjelaskan pihak radio Hot FM tidak menggesa Johan dan Fizi untuk melanggar kontrak di stesen lama, malah mereka diambil setelah tamat kontrak.

“Sejujurnya, kalau ambil saja macam tu, kita tak ada duit. Kita kena hormat. Ia juga terpulang kepada mereka.

“Kalau mereka rasa okay, hantar surat berhenti dan ikut peraturanlah. Kita tak galakkan untuk mereka langgar kontrak.

“Tidak ada istilah ‘sailang’. Bagi saya ini persaingan sihat. Kita tengok bakat yang mana mereka boleh mengisi tempat itu. Apa yang kita putuskan dari segi Johan dan Fizi ini adalah kena dengan strategi serta hala tuju kita,” katanya.

Nazri ditemui media pada sesi santai Jom Bekpes bersama barisan penyampai radio Hot FM daripada segmen Bekpes Hot, HaHaHa-Ngat bersama Johan, AG dan Fara Fauzana serta Fizi Ali di Sri Pentas, Bandar Utama, pagi tadi.

Sementara itu, Nazri turut disoal mengenai desas-desus yang mengatakan Johan dibayar dengan bayaran tinggi untuk menyertai Hot FM.

“Kita nak tawarkan bayaran tinggi tak adalah, cakap terus terang syarikat masih dalam proses nak meningkat. Kita bukan jenis tabur duit. Tak adalah sampai setengah juta. Bayaran ini antara kita dengan mereka,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: Ambil Cabaran Naikkan ‘Rating’ Hot FM, Johan Jawab Spekulasi Dapat Bayaran RM500,000 Sebulan

Kredit foto: Berita Harian/Harian Metro

Aqilah Paharuzi