Bapa Bunuh Diri Lepas Campak 3 Anak Dari MMR2

Seorang lelaki dipercayai warga Myanmar bertindak kejam apabila mencampak tiga anaknya dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berketinggian 20 meter berhampiran lampu isyarat di Desa Jaya, Kuala Lumpur  sebelum turut terjun dari jejambat berkenaan.

Kejadian itu menyebabkan dua kanak-kanak masing seorang lelaki dan perempuan berusia enam hingga lapan tahun serta lelaki terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lima tahun mengalami kecederaan parah dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.

“Berdasarkan kenyataan saksi, lelaki berusia 38 tahun terbabit dilihat berjalan sambil mengendong seorang kanak-kanak, manakala dua lagi kanak-kanak dipegang di tangan kanan dan kirinya.

“Saksi cuba menghampiri lelaki berkenaan namun secara tiba-tiba lelaki itu terus mencampakkan kanak-kanak yang dikendong dan dipimpinnya dari jejambat MRR2, lelaki berkenaan juga bertindak terjun,” katanya.

Menurut sumber, mangsa mengalami kecederaan dalaman di perut dan juga keretakan pada rusuk kirinya manakala, mayat yang lain dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Difahamkan, lelaki berkenaan dan seorang kanak-kanak perempuan memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini diminta tampil memberikan keterangan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan GS Baldev Singh di talian 012-480 6062 atau Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222,”jelasnya.

 

Sumber/kredit foto:  Harian Metro

Salma Syahbuddin