Bapa Ainul Mardhiah Kesal ‘Scammer’ Ambil Kesempatan – “Mohon Berhati-hati.. Kami Cuma Minta Doa Kalian”

Baru-baru ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita mengenai kanak-kanak perempuan bernama Ainul Mardhiah, 4, yang ditidurkan akibat keadaannya kini kritikal setelah dijangkiti kuman sehingga merebak ke seluruh badan.

Ekoran itu, bapa Ainul, Ahmad Safiuddin Ahmad menerusi satu hantaran di Facebook miliknya meluahkan perasaan terkilan serta kecewa apabila terdapat beberapa ‘scammer’ yang telah mengambil kesempatan dengan membuat kutipan derma kilat.

Berang dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu tersebut, Safiuddin, 27, memohon orang ramai untuk tidak ‘termakan’ dengan penipuan tersebut.

“Hati-hati dengan scammer yang guna nama anak saya Ainul Mardhiah untuk kutipan derma. Kami cuma minta doa, kami tak perlukan duit.

“Semoga Allah SWT cukupkan rezeki kita semua,” jelasnya.

Sementara itu, ibu Ainul, Nurul Erwani turut berkongsi tangkapan skrin status Facebook yang memaparkan scammer menggunakan nama Jamilah Firdaus meminta derma daripada orang awam.

Akaun tersebut melancarkan tabung kilat Ainul Mardhiah dengan meletakkan nombor akaun Maybank atas penama Othman Zakaria.

“Tolong jangan percaya! Tolong jangan percaya! Wahai scammer tolong lah jangan gunakan kesempatan ini untuk kaut duit orang. Saya sebagai mak dia tak ada tulis dalam posting saya untuk minta sumbangan. Saya cuma minta doa orang ramai sahaja,” tulisnya.

Sementara itu, menerusi status terbaru di Facebook bapa Ainul, Safiuddin berkongsi keadaan terkini Ainul yang semakin bertambah baik daripada semalam, namun masih dalam keadaan kritikal.

“Ainul lebih baik sedikit dari semalam. Tapi masih dalam keadaan kritikal. Doktor dan team masih perlu berjaga-jaga dan bersedia jika serangan bertambah buruk (nauzubillahiminzalik).

“Sekarang Ainul masih direhatkan, masih perlu bantuan ventilator dan dia masih dirawat di unit jagaan rapi,” tulisnya.

Semalam, Xtra melaporkan berita duka yang menimpa kanak-kanak perempuan yang dahulu pernah menghidap kanser Germ Cell Tumor atau tumor di mulutnya sejak lahir, Ainul Mardhiah 4, kini berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan kuman yang merebak ke seluruh badan.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Keadaan Kritikal Akibat Jangkitan Kuman Merebak, Ramai Titip Doa Agar Ainul Mardhiah Cepat Sembuh 

Aqilah Paharuzi