“Jujur saya tiada niat untuk rahsiakan pertunangan cuma menghormati permintaan keluarga,” demikian kata penyanyi Fara Hazel yang sudah bergelar tunang kepada Tengku Mohammad Kamal Hishamuddin sejak Julai lalu.

Tambah penyanyi lagu Setiaku Pasti ini, dia mahu mengambil masa sepanjang tempoh pertunangan ini untuk mengenali hati budi jejaka itu dengan lebih mendalam.

“Saya mengenali dia sejak tahun 2015 cuma kami mula serius pada April lalu. Dia mengaku mahu membawa hubungan kami ke peringkat seterusnya jadi saya minta dia bertemu dengan kedua ibu-bapa saya.

“Alhamdulillah, saya selesa dengannya sepanjang tempoh kami berkawan rapat,” katanya kepada Xtra.

Sementara itu, Fara mengakui bimbang dengan dugaan dalam tempoh pertunangan.

“Tipulah kalau saya cakap tidak risau. Tetapi setakat ini semuanya baik-baik sahaja. Atas sebab itu saya rahsiakan dahulu pertunangan ini. Jangan risau, bila tiba masanya saya akan berkongsi tarikh perkahwinan kami,” katanya.

Dalam masa sama, kakak kepada penyanyi Aiman Tino ini sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri meskipun baru sahaja berusia 23 tahun.

“Semua ini jodoh yang telah ditetapkan olehNYA. Saya terima dengan hati terbuka. Insha Allah, doakan yang terbaik buat saya dan pasangan,” ujarnya.

Kata Fara, majlis pernikahan berkemungkinan akan diadakan pada hujung tahun ini sekitar Disember manakala resepsi pada Januari tahun depan.

“Saya dan Kamal juga merancang untuk membuat satu single duet pada awal tahun hadapan dan lagu tersebut akan dinyanyikan di resepsi yang ketiga kami nanti,” katanya yang bakal diraikan dalam tiga majlis resepsi. 

SGMS Faida