Tiara Andini Teruja Berpeluang Bekerjasama Dengan Komposer Dari Korea

Penyanyi Indonesia Tiara Andini meluahkan rasa terujanya berpeluang untuk bekerjasama dengan komposer dari Korea, Hyun Shin.

Menurut Tiara, kehadirannya di Malaysia kali ini kerana ingin menyelesaikan segala urusannya bersama komposer tersebut yang kini sedang menetap di sini.

Disebabkan minatnya yang mendalam terhadap muzik dari Korea, Tiara menganggap peluang yang dimilikinya itu sebagai permulaan untuk kepelbagaian genre dalam setiap lagu yang dihasilkan.

“Saya teruja sangat dapat diperkenalkan dengan komposer Hyuk Shin dari Korea oleh pihak Universal. Seronok sangat akhirnya apa yang diimpikan oleh saya selama ini jadi kenyataan sebab saya penggemar K-Pop.

“Saya suka semua tentang Korea. Akhirnya saya dapat berkolaborasi terus dengan Korea secara original. Saya dah kongsikan idea saya bersamanya untuk buat lagu,” katanya.

Sementara itu, Tiara juga menyatakan bahawa dirinya sudah merakam beberapa lagu di Indonesia, namun tidak mencapai kepuasan komposer tersebut yang membuatkan dia nekad untuk datang ke sini.

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Tiara ketika ditemui di Sesi Beramah Mesra Bersama Media di Universal Music Malaysia, semalam.

Bukan itu sahaja, pelantun lagu Merasa Indah itu juga sempat berkongsi bahawa dirinya juga terlibat dalam sebuah drama adaptasi dari Korea yang berjudul, My Sassy Girl.

“Lagu tersebut akan dihasilkan dalam bahasa Inggeris. Sebelum ini, saya sudah ada lagu yang berbahasa Korea sebelum ini tapi bukan hasil kerjasama dengan Hyuk Sin.

“Dulu saya ada hasilkan lagu yang berjudul Bahaya duet bersama Arsy Widianto dan lagu itu ada dua versi iaitu Indonesia dan Korea. Mungkin projek seterusnya akan ada yang dalam bahasa Korea tapi setakat ini hanya berbahasa Inggeris.

“Saya ada berlakon juga sebuah drama adaptasi Korea yang berjudul, My Sassy Girl. Jadi, semuanya tak jauh dari Korea,” jelasnya.

Fatin Nurain