Tinggalkan Rumah, Anak Ahmad Dhani Pilih Tinggal Dengan Ibu Kandung

Anak lelaki bongsu penyanyi terkenal Indonesia Ahmad Dhani, Dul Jaelani dilaporkan meninggalkan rumah sejak 2014 dan tidak tinggal bersama bapa dan ibu tirinya, Mulan Jameela.

Menurut laporan Tribun Seleb, Dul yang merupakan anak hasil perkahwinan Dhani dan penyanyi Maia Estianty memilih untuk tinggal bersama ibu kandungnya.

Difahamkan, bukan hanya Dul sahaja yang memilih untuk tinggal bersama ibu kandung malah abangnya, Al- Ghazali juga memilih keputusan sama.

Nampaknya, El Rumi sahaja yang menjadi satu-satunya anak yang masih ‘setia’ memilih untuk tinggal di rumah Ahmad Dhani.

Baru-baru ini, Dul membuat pengakuan bahawa perbezaan ‘jiwa’ dalam arah muzik membuatkan dia mengambil keputusan tinggal bersama ibunya sejak tahun 2014 lagi.

“ Dulu aku ada kumpulan muzik bernama Backdoor yang harus mengikat kontrak bersama Republik Cinta Music. Sedangkan aku tidak mahu, aku mahu bergerak sendiri, haluanku sendiri,” katanya.

Tambah Dul, bapanya tidak menghalang dia untuk mencari fokus dalam membina nama sebagai penyanyi di Indonesia.

“ Aku mahu muzik yang dinyanyikan dihasil berdasarkan jalan hidupku sendiri. Jadi aku memutuskan untuk keluar dari rumah dan tinggal bersama ibu,” jelas Dul.

Ibu kandung Dul, Maia Estianty telah mengakhiri status ibu tunggal apabila memilih berkahwin dengan jutawan terkenal di Republik itu, Irwan Mussry pada 29 Oktober tahun lalu.

SGMS Faida