Tomok Belum Berani Beritahu Anak-Anak….

“Kalau betul dapat jemputan dari Istana, kami sekeluarga pasti gembira dan itu adalah rezeki anak-anak,” kata penyanyi dan komposer, Tomok selepas video ucapan dan nyanyian Hari Jadi daripada anak-anaknya, Arrian Akid, 8, dan Andrashah Iman, 5, bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang dimuat naik ke Twitter oleh isterinya, semalam, mendapat perhatian Tuanku Permaisuri Agong.

Lebih manis, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menganggap keletah ucapan Arrian dan Andra sebagai ‘comel’ di Twitter rasmi baginda, @cheminahsayang.

Tuanku Azizah juga telah perkenan untuk menjemput anak-anak penyanyi itu ke Istana Negara untuk bertemu baginda berdua.

“Tapi kami belum menerima jemputan rasmi lagi. Setakat ini hanya dari akaun Twitter Tuanku Azizah saja.

“Saya pun tak berani nak beritahu anak-anak. Dah dapat jemputan rasmi nanti baru saya beritahu. Tak naklah mereka menaruh harapan tinggi kalau tak jadi,” kata Tomok ketika dihubungi XTRA.

Tomok berkata pada awal, isterinya, Rahayu Abbas hanya merakam video itu sekadar suka-suka dan memuat naik video ucapan, sama seperti orang lain yang mengucapkan selamat hari keputeraan kepada YDP Agong di laman sosial, pagi semalam.

“Tak sangka pula ada pengikut ‘tag’ Tuanku Azizah @cheminahsayang dan baginda membalasnya.

“Saya pun rasa macam, ini betul-betul ke cubaan?,” kata Tomok ketawa.

Keterujaan Tomok sekeluarga dikongsi di Instagramnya dan mendapat pelbagai reaksi positif daripada rakan-rakan artis dan peminatnya sejak semalam.

Oleh: Azalea Danea

Del14