Categories: DramaHiburan

Tonton Apa Hari Ni: ‘Rombongan Cik Kiah Ke AJL’

Bahang pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 masih terasa. Pastinya, ramai yang turut hadir juga memahami rasa teruja untuk menyaksikan AJL secara langsung memang mengujakan. Filem original Tonton, ‘Rombongan Cik Kiah Ke AJL’ memaparkan elemen ini.

Peluang untuk ke AJL telah muncul – terima kasih kepada salah seorang anak penduduk kampung yang bekerja di TV3.

Cik Kiah (dilakonkan oleh Delimawati) telah menggalas tanggungjawab untuk mengetuai rombongan ke acara berprestij itu. Dia dibantu oleh anaknya, Ali (dilakonkan oleh Ucop) dan bakal menantunya, Mira (dilakonkan oleh Nabila Razali).

Kekecohan sudah mula tercetus sebelum perjalanan dek kuantiti tiket yang terhad. Cubaan merasuah telah berlaku. Kecam-mengecam serta langkah mogok juga dilaksanakan oleh orang kampung yang tidak berpuas hati.

Ahli rombongan Cik Kiah terdiri daripada Udin (dilakonkan oleh Naim Daniel), Cik Embun (dilakonkan oleh Rozie Othman), Pipah (dilakonkan oleh Natasya Mahyan), Tok Ketua (dilakonkan oleh Ahmad Tarmimi Siregar), Jamal (dilakonkan oleh Kazar Saisi), Cik Milah Propa (dilakonkan oleh Kiah Propa) dan ramai lagi.

Namun, pelbagai cabaran timbul sepanjang perjalanan mereka.

Daripada situasi di mana pemandu bas silih berganti, keadaan bas yang indah khabar serta menumpang keadaan yang menginsafkan (baca: van jenazah), semuanya perlu mereka redah untuk memastikan mereka tiba ke Axiata Arena, Bukit Jalil. Itu bukanlah titik noktah dugaan yang melanda rombongan Cik Kiah ini.

Saksikan warna-warni perjalanan mereka dan sama ada berjaya atau tidak rombongan ini tiba pada masanya dan masuk ke stadium untuk Anugerah Juara Lagu.

Cerita Apa? ‘Rombongan Cik Kiah Ke AJL’
Di Mana? TV3 & Strim Eksklusif di Tonton

Afiqah Azizan