Tujuh Tahun Hilang…Cinta Laura Keihl Rai Kepulangan Dengan ‘Vida’

Mula menyanyi sejak usia lapan tahun, penyanyi Cinta Laura Kiehl dilihat mampu mempertahankan popularitinya sehingga kini

Penyanyi dan pelakon berusia 26 tahun ini amat teliti dalam merencana karier seninya dan selesa menjadi diri sendiri terutama dalam pemilihan lagu.

Terbaharu, Cinta Laura tampil dengan single berjudul Vida selepas tujuh tahun menyepi dari dunia hiburan.

“Vida gambaran diri saya yang sebenar. Ada tiga genre di dalam lagu ini yang saya suka iaitu Reggaeton, Zuna dan latin yang saya suka.

“Kalau dulu pemilihan lagu diletakkan kepada selera label tetapi kali ini pihak Sony Music memberi kebebasan kepada saya untuk membuat pemilihan sendiri.

“Jadi saya fikir, saya sukakan muzik dan mahu berkongsi dengan peminat apa yang saya suka,” katanya ketika ditemui Xtra di sesi media yang berlangsung di Hotel W, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Cinta pernah popular dengan lagu Oh Baby pada tahun 2007.

Tambah Cinta, dia menyifatkan Vida sebagai ‘baby’ sulungnya kerana segalanya idea datang daripadanya.

“Melodi dan lirik yang riang seolah menggambarkan ‘kepulangan’ saya ke dalam arena muzik selepas lama menghilang.

“Ibarat sebuah celebration lah,” katanya sambil ketawa.

Proses rakaman Vida dilakukan di Sweden malah Cinta turut merakam tiga lagi buah lagu yang dipasarkan untuk pasaran Asia Tenggara.

Sementara itu, Cinta turut diundang menjadi salah seorang penyanyi yang membuat persembahan di Konsert Lazada Super Show di Pusat Konvensyen Putrajaya, malam tadi.

Terbaiklah, Cinta Laura! Korang dah dengar ke belum?

SGMS Faida