Tular Video Selawat Bersama Farhatul Fairuzah: “Banyak Lagi Kena Belajar Ni” – Siti Nurhaliza

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui masih banyak ilmu yang perlu dipelajari susulan sebuah video alunan selawat bersama Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019 yang juga personaliti TV, Farhatul Fairuzah tular di media sosial baru-baru ini.

Video tersebut yang dimuat naik di akaun Instagram Farhatul berjaya meraih perhatian ramai yang kagum melihat kedua-dua individu hebat itu.

Menyedari namanya menjadi perbualan, pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu itu tampil memberi respons terhadap video tular tersebut.

“Banyak lagi kena belajar ni,” katanya di Instagram Story miliknya berdasarkan sebuah berita di portal hiburan mengenai video itu.

Menjengah ke ruangan komen video selawat itu, Siti sempat memuji kelunakan suara Farhatul.

“Subhanallah.. sedapnya alunan ustazah,” katanya.

Terdapat juga antara golongan selebriti yang turut terpegun mendengar kemerduan mereka berdua seperti Lisa Surihani, Daiyan Trisha, dan Fakhrul Unic.

Aqilah Paharuzi